Thanabalan

Selangor terus menjarakkan diri dari zon penyingkiran setelah menewaskan musuh setempat PKNS FC 2-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Rabu.

Skuad bimbingan Nazliazmi Nasir itu mendahului menerusi jaringan Rufino Segovia seawal minit ketujuh permainan sebelum bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali mengikat kedudukan 1-1 dua minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Pemain kebangsaan Indonesia, Evan Dimas Darmono bagaimanapun mengesahkan tiga mata buat Red Giants setelah rembatan leretnya dari luar kotak penalti gagal diselamatkan Shahril Saari pada minit ke-60.

Kemenangan kelima musim ini menyaksikan Selangor melonjak ke tangga kelapan dengan 17 mata manakala PKNS bimbingan Datuk K.Rajagobal pula mengharungi empat perlawanan tanpa kemenangan dan kekal di tangga keenam dengan 19 mata.

Dalam satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, jaringan lewat N.Thanabalan pada minit kelima masa kecederaan membantu Negeri Sembilan menyelamatkan satu mata dengan mengikat Perak 1-1.

The Bos Gaurus bimbingan Mehmet Durakovic dilihat sudah hampir pasti meraikan kemenangan kelapan mereka musim ini apabila mendahului menerusi jaringan penyerang import, Gilmar Filho pada minit ke-70 namun Thanabalan yang dibawa masuk di babak kedua menafikan hajat tersebut menerusi sepakan terakhir perlawanan.

Keputusan seri menyaksikan Negeri Sembilan terus menyalakan misi kekal di Liga Super dan buat pertama kalinya tidak tewas dalam tiga perlawanan berturut-turut musim ini, selepas mengharungi babak awal Liga Super dengan prestasi yang mengecewakan.

Dengan satu mata yang diraih, Perak kekal di tangga ketiga dengan 24 mata manakala Negeri Sembilan pula kekal di tangga kesebelas dengan 12 mata – dipisahkan empat mata dari zon selamat. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -