Bekas Menteri Besar Negara Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan mengucapkan selamat tinggal kepada Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) selepas 14 tahun apabila melepaskan jawatannya sebagai Presiden persatuan itu, pada Rabu.

Selain Mohamad atau popular dengan panggilan Tok Mat, turut berundur adalah dua naib presiden PBNS iaitu Datuk Mohamad Haslah Amin yang turut berperanan sebagai pengurus pasukan serta Datuk Abdul Ghani Hassan.

Buat sementara waktu, Timbalan Presiden, Datuk Seri Mat Ali Hassan akan memangku jawatan presiden sehingga mesyuarat agung luar biasa persatuan itu diadakan dalam tempoh terdekat.

“Beliau telah menghantar surat bertarikh 29 Mei memaklumkan mahu melepaskan semua jawatannya di PBNS termasuk jugalah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan, Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif terima keputusan tersebut dan mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang dicurahkan untuk kemajuan bolasepak Negeri Sembilan,” ujar Mat Ali.

Tambahnya, “Buat masa ini, bagi memastikan kelancaran pengurusan, mesyuarat bersetuju saya memangku tugasan Presiden, kita juga memutuskan untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa dengan satu agenda untuk membuat pengisian semua jawatan melalui pertandingan.

“Tarikh mesyuarat agung luar biasa itu akan ditetapkan dalam mesyuarat pengurusan nanti. Sekiranya dipersetujui kongres dalam mesyuarat agung luar biasa itu, tempoh penyandang jawatan adalah setahun dan kita buka kepada sesiapa sahaja untuk masuk bertanding sama ada individu sedia ada di dalam persatuan ataupun sesiapa sahaja yang berminat.”

Sejak memegang jawatan Presiden PBNS bermula 2004, Tok Mat telah berjaya membawa Negeri Sembilan muncul juara Liga Super (2006), Piala Malaysia (2009, 2011), Piala FA (2010) dan memastikan pasukan itu kembali dalam saingan Liga Super pada 2018 setelah lima musim bermain di Liga Premier.

Musim ini, prestasi mereka agak kurang memberansangkan di mana skuad yang pada mulanya dikendalikan Jorg Steinbrunner dan kemudiannya Azraai Khor Abdullah mencatat deretan keputusan mengecewakan dan menghabiskan pusingan pertama Liga Super di kedudukan tercorot.

Hanya selepas Mario Lemos mengambil alih pada bulan lalu, mereka mula menunjukkan peningkatan namun masih bergelut di zon penyingkiran.

Mat Ali berkata, walau siapapun yang menjadi Presiden baru PBNS nanti, sudah tentu harapan dan sasaran utama persatuan itu adalah memastikan Negeri Sembilan dapat mengelak penyingkiran dan kekal bersaing dalam saingan Liga Super musim depan. MUHD AIMAN 

- Advertisement -