Syihan bernasib baik kena gantung hanya 20 bulan

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2018/06/syihan-bernasib-baik-kena-gantung-hanya-20-bulan">
Twitter
Pinterest

Penjaga gol muda Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed boleh menarik nafas lega apabila digantung selama 20 bulan sahaja daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bolasepak susulan gagal ujian doping ketika menyertai Kejohanan AFC B-23 di China pada Januari lalu.

Berdasarkan peraturan anti-doping Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), pemain itu boleh dikenakan hukuman mandatori empat tahun namun Jawatankuasa Etika dan Peraturan AFC pada 4 Jun lalu mengenakan hukuman lebih pendek itu setelah berpuas hati dengan penjelasan diberikan ketika sesi pendengaran pada 30 dan 31 Mei.

Ahmad Syihan sebelum ini telah digantung sementara selama 60 hari pada Februari oleh Negeri Sembilan setelah didapati positif metabolite methandienone iaitu sejenis bahan larangan dalam senarai Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dalam ujian sampel A yang diambil pada 10 Januari 2018.

Hukuman penggantungan bekas penjaga gol Kelantan itu bermula sejak tarikh dia digantung pada Februari dan kontraknya bersama NS juga secara automatik terbatal berikutan keputusan AFC itu dan pasukan itu tidak perlu membayar sebarang pampasan kepadanya.

Sementara itu, ejen pemain berusia 22 tahun itu, Effendi Jagan Abdullah pula berkata pihaknya merasakan hukuman itu adalah munasabah dan boleh diterima justeru mereka tidak bercadang untuk mengemukakan rayuan.

“Kalau buat rayuan pun ada risikonya juga kerana jika rayuan ditolak, mereka boleh tambahkan tempoh penggantungan. Jadi, adalah lebih baik kita akur dengan keputusan ini, empat bulan sudah berlalu, ada 16 bulan lagi. Apa yang penting bagi Syihan ketika ini, adalah dia perlu melakukan latihan sendiri bagi mengekalkan prestasi,” kata Effendi.

Untuk rekod, Ahmad Syihan merupakan pilihan utama Dato’ Ong Kim Swee bagi mengawal gawang skuad B-23 negara sebelum mengalami kecederaan patah tangan yang menyaksikannya tersisih dari Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan tempatnya diambil alih Ifwat Akmal Chek Kassim serta Haziq Nadzli.

Dia kembali ke dalam skuad Kim Swee pada penghujung tahun lalu dan disenaraikan sebagai salah seorang penjaga gol ke China namun sekadar menjadi pemain simpanan dan tidak diturunkan beraksi. MUHD AIMAN 

Please follow and like us:
0