Selepas hampir tiga bulan tamat saingan jelajah berbasikal Le Tour de Langkawi 2018, penganjur perlumbaan berstatus 2HC Ciclista Sports Sdn Bhd telah melunaskan pembayaran wang kemenangan kepada  22 pasukan yang bertanding.

Ketua Pegawai Eksekutif LTDL 2018, M Kumaresan menjelaskan ketika sidang media pada Selasa (12 Jun) di Shah Alam, peruntukkan bagi tujuan pembayaran wang kemenangan kepada pelumba dan pasukan yang terlibat dibayar selepas laporan lengkap diserahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“KBS telah menyerahkan wang kemenangan berjumlah RM 897 350 kepada Ciclista Sport Sdn Bhd selepas menerima kesemua laporan lengkap melibatkan penganjuran LTDL 2018.

“Ia sangat penting dan perlu dipatuhi berdasarkan peraturan yang telah ditetapkan. Sebagai penganjur, kita tidak mahu dilabel sebagai gagal kerana pelumba dan pasukan sudah bekerja keras untuk berlumba dan meraih kejayaan sekaligus merancakkan saingan LTDL 2018.

“Justeru, wang kemenangan adalah hak mereka dan perlu dijelaskan,”kata M Kumaresan.

Berdasarkan artikel 18 berkaitan hadiah kemenangan, pembayaran kepada pasukan perlu diselesaikan dalam tempoh 90 hari daripada hari terakhir perlumbaan iaitu pada 25 Mac dan pengurus pasukan terlibat perlu menyerahkan butiran akaun pasukan untuk tujuan pembayaran.

Pasukan yang berpengkalan dari Kazakhstan, Astana Pro menerima wang kemenangan paling tinggi bagi saingan LTDL 2018 yang berjumlah lebih RM 140 000.

Perlumba kelahiran Itali, Ricardo Minali antara penyumbang utama pasukan selepas  meraih tiga podium selaku pemenang peringkat selain menduduki tempat kedua dalam kedudukan pemenang jersi hijau selaku Raja Pecut

Malah Astana dinobat selaku pasukan terbaik Asia daripada lapan pasukan yang mengambil bahagian serta menduduki tangga kedua dalam kedudukan pasukan keseluruhan dibelakang pasukan berstatus Pro Benua, Wilier Triestina – Selle Italia.

Ditangga kedua pasukan yang berpengkalan di Itali, Wilier Triestina – Selle Italia yang mengumpul wang kemenangan keseluruhan lebih RM 86 000.

Manakala pasukan Pro Benua negara, Terengganu Cycling (TSG) muncul pasukan dari Malaysia yang menerima wang kemenangan tertinggi lebih RM 80 000.

Saingan Le Tour de Langkawi 2018 bermula dari 18 hingga 25 Mac 2018, dimana perlumbaan bermula dari Kangar, Perlis dan tamat di Kuala Lumpur manakala majlis pengenalan pasukan berlangsung pada 16 Mac di Dataran Langkawi, Langkawi.

 

Ringkasan Pembayaran (RM)

Kedudukan Keseluruhan (Individu)         190,500.00

Kedudukan Keseluruhan (Pasukan)           70,500.00

Kedudukan Keseluruhan Pasukan (Asia)   38,000.00

Raja Pecut                           27,000.00

Raja Bukit                                    27,000.00

Pelumba Terbaik Asia                     34,000.00

20 Pemenang Peringkat                376,000.00

Pecut (peringkat)                          31,900.00

Pendakian HC (Peringkat)                 2,300.00

Pendakian CAT 2-4 (Peringkat)                21,750.00

Pelumba Terbaik Asia (Peringkat)     42,400.00

Pelumba Terbaik Malaysia (Peringkat)        8,000.00

Pemenang jersi (Peringkat)             28,000.00

Jumlah                                       897,350.00

- Advertisement -