Felda United sah kembali ke saingan Liga Super selepas hanya semusim beraksi di 100PLUS Liga Premier setelah mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang UKM FC pada Jumaat.

Keputusan itu menyaksikan Felda mengumpul 38 mata dari 17 perlawanan, tujuh mata mengatasi Felcra FC yang mengumpul 31 mata dan 13 mata mengatasi pasukan tangga ketiga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan berbaki hanya tiga lagi perlawanan untuk ditamatkan.

Ini sekaligus bermakna kedudukan skuad bimbingan B.Sathianathan itu di dua teratas tidak lagi boleh digugat dan mereka kini hanya dipisahkan dengan satu sahaja lagi kemenangan untuk muncul juara 100PLUS Liga Premier.

Sementara itu, Felcra FC pula turut memerlukan satu kemenangan sahaja lagi untuk mengikut jejak Felda dan mencipta sejarah layak pertama kali beraksi di Liga Super.

Skuad bimbingan Tarchisio Pugliese itu mengukuhkan cengkaman mereka di tangga kedua setelah menewaskan PDRM 3-1 di Stadium Shah Alam.

Satu jaringan kapten pasukan Shahrom Kalam pada minit kesembila dan dua menerusi Anselmo Aruda Da Silva (m-54, 63) meletakkan Felcra selesa mendahului 3-0 pada satu ketika sebelum PDRM mendapat gol sagu hati menerusi  Petrisor Voinea pada minit ke-76.

Dalam satu lagi aksi, Sabah menewaskan Terengganu FC II dengan jaringan 2-1 di Kuala Terengganu. Setelah terikat tanpa jaringan di babak pertama, Sabah memecah kebuntuan pada minit ke-46 menerusi tandukan Hector Ramos dan menggandakan kedudukan pada minit ke-89 menerusi Radoljub Paunovic.

Gol tunggal tuan rumah dijaringkan Firas Tarmizi pada minit ke-90. 

Sabah melonjak ke tangga keempat dengan 24 mata manakala TFC II kekal di tangga tercorot dengan 11 mata. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -