Selain memacu perancangan yang disuarakan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Moh Amin, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam turut diberi peranan untuk menangani isu pelepasan pemain pemain untuk menjalani latihan pusat bersama skuad kebangsaan.

Selepas dilantik pada pertengahan Julai lalu, Stuart berkongsi pendapat serta perancangannya untuk membantu dalam mengatasi masalah pelepasan pemain pemain yang beraksi di liga tempatan untuk menyertai skuad kebangsaan.

Stuart berkata, ia akan diselesaikan selepas mengadakan perbincangan dengan semua pihak dan perkara ini bukan hanya melibatkan skuad senior, tetapi pasukan Bawah 19,16 malah 23 tahun.

“Apa yang mampu kami lakukan ketika ini adalah berbincang dengan kedua dua pihak termasuk Malaysia Football League (MFL). Mereka yang bertanggungjawab merangka jadual termasuk kejohanan utama bukan sahaja melibatkan pasukan bawah 16 atau 19, tetapi turut melibatkan Sukan Asia.

“Kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) juga merupakan kejohanan kejohanan utama,”kata Stuart.

Isu pelepasan pemain pemain untuk menyertai kem latihan kebangsaan seringkali menghantui pengendali pengandali seperti Tan Cheng Hoe, Datuk Ong Kim Swee, Bojan Hodak dan jurulatih skuad kebangsaan terdahulu apabila ‘gagal’ mendapat kerjasama daripada pasukan negeri atau kelab kelab.

Jadual liga domestik yang padat selain enggan mengambil risiko pemain pemain yang diberi pelepasan mengalami kecederaan antara faktor utama yang menghalang pengurusan pasukan untuk melepaskan pemain pemain ini.

Tidak dinafikan, pasukan negeri atau kelab bolasepak yang membayar gaji pemain pemain, malah tiada jaminan kos rawatan pemain pemain akan ditanggung sepenuhnya oleh FAM andai mengalami kecederaan ketika mewakili Malaysia.

Lebih mengecewakan apabila pemain yang mewakili skuad kebangsaan berdepan kecederaan serius sekaligus terlepas peluang untuk beraksi bersama pasukannya, memaksa pengurusan mengeluarkan kos samada merawat atau menggugurkan pemain itu jika terlalu serius.

Mungkin solusi tidak akan diperolehi dalam masa terdekat, kerana perbincangan kosong tanpa jaminan kukuh diantara FAM dan pasukan negeri atau kelab hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

FAM perlu lengkap dari segala aspek, termasuk pakar perubatan khusus untuk memantau perkembangan pemain yang tercedera dan rawatan susulan yang efisien agar tahap kecederaan dikenalpasti dengan kadar segera sebelum rawatan susulan diberikan.

- Advertisement -