Pengendali skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Dato’ Ong Kim Swee berharap undian semula bagi acara bolasepak di Sukan Asia 2018 tidak menjejaskan persiapan pasukannya yang sudah memasuki fasa akhir.

Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia Indonesia (IGNASOC) telahpun menjalankan proses undian pada 5 Julai lalu tetapi difahamkan akan membuat undian semula susulan bantahan daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Palestin setelah pasukan mereka tercicir dalam undian awal akibat masalah teknikal.

Malah, India yang sebelum ini tidak mahu menghantar skuad bola sepak mereka kerana masalah dalaman dilaporkan membuat ‘pusingan U’ dan bakal mengambil bahagian.

Sambil menyatakan bahawa dia sendiri baru tahu bahawa undian akan dibuat semula, Kim Swee berharap ianya diselesaikan dengan segera apatah lagi pertandingan tinggal kurang sebulan lagi untuk berlangsung.

“Saya memang terkejut kerana tiada langsung maklumat mengatakan undian akan dibuat semula, sama ada dari penganjur, AFC mahupun MOM (Majlis Olimpik Malaysia). Jadi pada anggapan saya, kita akan bermain di Sukan Asia sepertimana undian yang telah dibuat sebelum ini.

“Saya tiada masalah jika mereka buat undian semula tetapi mereka kena percepatkannya. Saya percaya negara-negara lain juga mahu ia dibuat secepat mungkin kerana tinggal tidak sampai sebulan untuk pertandingan bermula dan kita masih tidak tahu siapa yang akan kita lawan.

“Setiap pasukan perlu merancang persiapan setelah melihat undian. Kita sendiri telah merancang persiapan bersandarkan undian terdahulu dengan mengatur perlawanan persahabatan menentang skuad B-23 China pada 2 Ogos dan B-23 Arab Saudi pada 9 Ogos.

“Kalaulah undian semula menyaksikan kita diundi bersama China atau Arab Saudi, bukankah ia menganggu persiapan kita dan juga pasukan lain. Jadi saya berharap isu ini akan diselesaikan segera sebelum pelbagai masalah lain pula timbul,” kata Kim Swee.

Undian semula itu dijadualkan dibuat pada 20 Julai (Jumaat) di Rumah Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tetapi kemudiannya dimaklumkan bahawa ia ditunda ke satu tarikh lain.

Undian pada 5 Julai lalu menyaksikan Malaysia diletakkan di dalam Kumpulan E bersama-sama juara bertahan Korea Selatan, Bahrain dan Kyrgyzstan.

Bolasepak di Sukan Asia akan berlangsung dari 14 Ogos hingga 1 September di beberapa venue seperti Palembang, Bekasi, Cibinong, Cikarang dan Soreang. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -