Pertahanan skuad bawah 23 tahun kebangsaan, Dominic Tan mengakui Malaysia berdepan cabaran sukar untuk memburu tiket ke suku akhir Sukan Asia Indonesia bulan depan.

Antara lawan yang menjadi tumpuan adalah juara bertahan, Korea Selatan yang turut membariskan bintang Piala Dunia mereka, Son Heung Min namun Dominic berkata apa yang lebih penting Malaysia tidak boleh sesekali gentar dengan reputasi hebat mana-mana pasukan mahupun  pemain.

“Semua tahu kualiti Son secara individu dan kualiti pasukan Korea Selatan itu sendiri secara menyeluruh. Tetapi apa yang lebih penting sekarang bukan risau mengenai mereka tetapi tumpukan perhatian kepada persiapan pasukan sendiri.

“Kita perlu sedar, bukan hanya Korea Selatan, tetapi semua pasukan adalah berbahaya. Siapapun lawan kita nanti, kita boleh hadapi mereka jika bermain mengikut arahan dan perancangan jurulatih. Kita kena bersiap sedia ‘rempuh’ siapa sahaja lawan.

“Saya yakin jika kami fokus dan menunjukkan komitmen tinggi, kami boleh melangkah jauh walaupun ianya satu kumpulan yang cukup mencabar. Kejayaan berada di suku akhir Kejuaraan AFC Januari lalu turut memberi keyakinan kepada kami,” kata Dominic yang beraksi secara pinjaman dengan kelab Divisyen 3 Portugal, Villaverdense FC bersama-sama Syamer Kutty Abba. 

Selain Korea Selatan yang turut dianggap sebagai pencabar utama, Malaysia akan turut berdepan tentangan dari Kyrgystan, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang baru sahaja masuk ke dalam kumpulan setelah undian semula dilakukan.

Pencapaian terbaik Malaysia di Sukan Asia adalah dua kali mara ke pusingan kedua pada edisi 1978 dan kemudiannya pada 2010. Pada 2014 cabaran tersekat di peringkat kumpulan.

Bolasepak di Sukan Asia akan berlangsung dari 14 Ogos hingga 1 September di beberapa venue seperti Palembang, Bekasi, Cibinong, Cikarang dan Soreang. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -