Pengendali skuad bawah 23 tahun Malaysia, Dato’ Ong Kim Swee tidak menolak kemungkinan pasukannya akan menarik diri dari beraksi di Sukan Asia Indonesia 2018, andai gagal mengumpulkan jumlah pemain yang mencukupi.

Kim Swee telah memanggil 24 pemain untuk menjalani latihan pusat fasa akhir bermula 30 Julai ini dan enam berada dalam senarai ‘standby’ namun dia sedar tentang kemungkinan akan ada pasukan yang enggan melepaskan pemain utama masing-masing kerana jadual Sukan Asia bertembung dengan aksi Piala Malaysia yang juga bermula Ogos.

“Saya hanya boleh panggil dari senarai 30 pemain tersebut, hanya nama mereka yang didaftarkan jadi saya tidak lagi boleh panggil pemain lain. Jika gagal mendapatkan 18 pemain iaitu jumlah minimum yang diperlukan untuk bertanding di Sukan Asia, kita tiada pilihan selain menarik diri,” kata Kim Swee.

Walaupun mengharapkan setiap pasukan akan dapat memberikan kerjasama demi kepentingan negara, Kim Swee juga akur betapa mereka tidak boleh dipersalahkan jika enggan melepaskan pemain kerana Sukan Asia bukan kejohanan di bawah kalendar FIFA walaupun ianya merupakan temasya terbesar di Asia dan menghimpunkan pasukan-pasukan terbaik dari benua ini.

Antara yang paling dikhuatiri sukar mendapat pelepasan adalah pemain dari Johor Darul Takzim, Pahang, Kedah dan Kelantan seperti Safawi Rasid, Mathew Davies, Rizal Ghazali, Baddrol Bakhtiar dan Nik Akif Syahiran Nik Mat.

“Saya harap tidak timbul masalah kerana lagipun Sukan Asia berlangsung bukannya lama, mereka mungkin akan terlepas beberapa perlawanan Piala Malaysia sahaja,” tambahnya.
Kim Swee pada hakikatnya bukanlah tidak pernah berdepan situasi ini.

Pada Julai tahun lalu, dia kehilangan khidmat enam pemain iaitu Davies, Norazam Azih (Pahang), Syamer Kutty Abba, S.Kumaahran (Pulau Pinang), Safawi dan Haziq Nadzli (JDT) bagi aksi peringkat kumpulan kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Bangkok.

Mengikut perancangan, Kim Swee akan membawa skuadnya untuk beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang skuad B-23 China di Changzhou pada 5 Ogos dan kemudiannya skuad B-23 Arab Saudi di Kuala Lumpur pada 9 Ogos sebelum senarai akhir 20 pemain diumumkan.

Bolasepak di Sukan Asia akan berlangsung dari 14 Ogos hingga 1 September di beberapa venue seperti Palembang, Bekasi, Cibinong, Cikarang dan Soreang. MUHD AIMAN 

- Advertisement -