Pahang mengesahkan kejuaraan Piala FA 2018 menjadi milik mereka setelah menewaskan Selangor dengan jaringan 2-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Ia adalah kali ketiga Pahang menjulang trofi berkenaan selepas turut memenanginya pada 2006 dan 2014 manakala kekalahan buat Selangor menyaksikan mereka kempunan untuk bergelar juara buat kali pertama selepas sembilan tahun.

Dalam aksi final yang kurang mendapat sambutan di mana sekitar 45,000 penyokong sahaja yang membanjiri stadium, ianya Selangor yang terlebih dahulu mencemaskan kubu Pahang menerusi gerakan solo Amri Yahyah yang berjaya dipatahkan pertahanan Pahang seawal minit keenam.

Begitupun Pahang mengambil alih penguasaan selepas itu dan mencipta beberapa peluang jaringan sebelum berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-22 menerusi Nor Azam Azih.

Pemain skuad bawah 23 tahun kebangsaan itu menerima hantaran daripada Norshahrul Idlan Talaha dan melepaskan rembatan cantik dari luar kotak penalti yang sama sekali gagal diselamatkan Khairul Azhan Khalid.

Pahang kemudian berpeluang menambah jaringan namun percubaan daripada Mahamadou Sumareh, Norshahrul Idlan serta tandukan padu Safwan Baharudin kesemuanya diselamatkan oleh Khairul Azhan.

Tatkala kelibat penjaring terbanyak Piala FA, Rufino Segovia nampak sedikit tenggelam, Selangor membawa masuk Evan Dimas untuk membantunya di hadapan pada minit ke-59 namun belumpun dua minit dia di atas padang, Pahang mendapat sepakan penalti setelah Austin Iwuji Amutu dijatuhkan Alfonso De La Cruz.

Patrick Cruz yang baru sahaja kembali ke dalam kesebelasan utama setelah tersisih sekian lama kerana kecederaan merembat masuk untuk gol kedua dan kedudukan itu kekal sehingga tamat.

Kemenangan itu juga menyaksikan pasukan tok gajah bimbingan Dollah Salleh menebus kekecewaan tewas 2-3 kepada Kedah pada musim lalu dan menghadiahkan mereka slot beraksi di kelayakan Liga Juara-Juara Asia.

Begitupun sama ada mereka dapat beraksi atau tidak masih tiada kepastian memandangkan mereka  masih dalam penggantungan yang dikenakan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -