Lengkap pusingan peringkat kumpulan Kejohanan Badminton 100PLUS Sirkit Remaja Kebangsaan Grand Final 2018 dimana lapan pemain yang mengungguli peringkat kumpulan bagi acara perseorangan Bawah 16 tahun melengkapkan jadual suku akhir.

Manakala bergu yang mengungguli pusingan kumpulan bagi kategori lelaki dan perempuan mengesahkan kemaraan ke pusingan separuh akhir.

Perseorangan perempuan bawah 16 kumpulan A, pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Go Pei Kee mara ke suku akhir selepas menewaskan Cheng Su Hui dari Kedah 21-10, 23-21 untuk kemenangan kedua sekaligus mendominasi kumpulan A.

Kumpulan B pula diungguli pemain Selangor, Lim Qi Ling yang melakar kemenangan kedua selepas menang ke atas I Lenisyah dari Melaka 21-14, 22-20.

Pemain Pulau Pinang, Khor Jing Wen mengecewakan juara sirkit kedua zon C, Odelia Wong Qiao Shi dari Kuala Lumpur 21-11, 23-21 untuk mara ke suku akhir.

“Saya pernah bertemu dengan dia (Odelia) November tahun lalu. Tidak banyak yang saya tahu tentang corak permainannya, tetapi dia tampak keletihan di set kedua dan ia emberi peluang kepada saya.

“Untuk peringkat seterusnya, saya mahu fokus satu persatu dan kekalkan fokus sepanjang perlawanan,”kata Khor Jin Wei.

Arena Satu Samin antara pemain yang menjadi tumpuan selepas mengesahkan kemaraan ke suku akhir.

Pemain berusia 15 tahun ini yang juga juara dua sirkit terdahulu zon A mengungguli kumpulan D dengan dua kemenangan termasuk menewaskan Vibiana VIncent Ravindran dari Perak.

“Secara keseluruhan permainan saya baik. Tetapi hari ini sedikit kecewa kerana banyak melakukan kesilapan.

“Tekanan untuk ke pusingan kalah mati, tetapi saya optimis untuk melakar kejayaan sehingga ke final,”kata Arena.

Aksi perseorangan lelaki pula menyaksikan Teh Jin Hong mendominasi kumpulan A selepas melakar dua kemenangan termasuk menewaskan Muhd Atef Haikal muhd Taufik 21-19, 21-15 hari ini.

Samuel Lee dari Pulau Pinang yang juga juara sirkit kedua zon A mara ke suku akhir selepas menduduki tangga teratas kumpulan B.

Pemain Johor, Sharveen Muniandy melakar kejutan, menewaskan juara sirkit pertama zon B Jimmy Wong dari Pulau Pinang 21-16, 21-17 untuk menerajui kumpulan C sekaligus mara ke suku akhir.

Ng Yaw Pin paling awal mengesahkan slot ke peringkat seterusnya selepas menerajui kumpulan D sementara kumpulan E diungguli wakil BAM, Ong Zhen yi yang meraih kemenangan kedua selepas mengatasi Mohd Erfan Abd Rahman dari Kedah 21-16, 21-10.

Aksi suku akhir melibatkan perseorangan lelaki dan perempuan dijadual berlangsung pada pagi Sabtu (7 Julai) manakala saingan separuh akhir melibatkan acara perseorangan dan bergu bagi kategori lelaki dan perempuan dijadual bermula pada petang hari yang sama.

- Advertisement -