Johor cemerlang apabila melakar kejutan dengan menewaskan Perak 3-0 sekali gus mengesahkan slot ke separuh akhir saingan hoki Divisyen Perdana Piala Ketua Polis Negara 2018 di Stadium Hoki Wisma Belia di Kuantan, hari ini.

Menghuni tangga tercorot daripada empat pasukan dalam Kumpulan A dengan hanya mengutip satu mata selepas dua perlawanan, Johor memusnahkan impian Perak untuk layak ke separuh akhir.

Khairul Fazly Mohamed Atal meledak dua gol minit ke-27 dan 40 manakala Ahmad Husaifah Yunus menjaringkan gol minit ke-33.

Sebagai rekod, format kejohanan menyaksikan perlawanan yang berkesudahan dengan keputusan seri selepas tamat masa sebenar, dua mata akan diberi kepada pasukan yang memenangi penentuan penalti dan satu mata kepada pasukan yang tewas.

Perak pada awalnya diramal tidak berdepan masalah untuk menyertai pasukan elit lain mara ke separuh akhir selepas mengutip mata penuh hasil kemenangan ke atas Briged Tengah 1-0.

 

 

Sementara itu, juara bertahan, Bukit Aman terus cemerlang apabila menewaskan Briged Tengah 3-1 untuk menjuarai Kumpulan A dengan sembilan mata manakala Johor melonjak ke tangga kedua dengan empat mata diikuti Briged Tengah (tiga mata) dan Perak (dua mata).

Pada aksi separuh akhir esok, Bukit Aman akan bertemu Selangor manakala Johor menentang juara Kumpulan B Pulapol KL.

Pulapol KL menewaskan Pahang 13-0 untuk menjuarai Kumpulan B manakala Selangor mengatasi Kuala Lumpur 4-2.

“Saya terkejut dengan kemenangan kami ke atas Perak. Ia sesuatu yang tidak dijangka kerana kami sebelum ini berada di tangga tercorot kumpulan,” kata pengurus Johor, Insp K. Logeintgira.

“Kami akan berikan aksi terbaik apabila berdepan lawan kami di separuh akhir. Kemenangan ini adalah suntikan semangat buat kami.”

Pada aksi penentuan kelima hingga kelapan, Briged Tengah akan menentang Pahang dan Perak bertemu Kuala Lumpur.

 

- Advertisement -