Bekas pemain kebangsaan, Kevinder Singh menjaringkan enam gol bagi membantu Kuala Lumpur menewaskan Pahang 9-1 sekali gus menghidupkan peluang untuk ke separuh akhir saingan hoki Divisyen Perdana Piala Ketua Polis Negara 2018 di Stadium Hoki Wisma Belia Kuantan, hari ini.

Kuala Lumpur yang tewas 1-5 di tangan Pulapol KL – salah satu pasukan pilihan bagi bergelar juara – kembali beraksi pada tahap prestasi terbaik mereka untuk aksi peringkat Kumpulan B.

Pasukan itu yang juga juara 2014 dan menamatkan saingan di tempat keempat pada 2016 akan berdepan Selangor dalam aksi terakhir kumpulan esok.

Kedua-dua pasukan ketika ini berkongsi tiga mata selepas dua perlawanan.

Kevinder yang kali terakhir mewakili skuad negara pada 2012 menjaringkan gol pada minit ke-7, 12, 22, 39, 43, dan 58 manakala Azlizam Ahmad Zaman (35), Faharul Nazrey Harun (40) dan Muhammad Faiz Zuri (60) masing-masing menjaringkan satu gol.

Pahang meraih gol saguhati menerusi Raffey Ukim pada minit ke-26.

ā€œKami bermain dengan lebih baik hari ini,ā€ kata pengurus Kuala Lumpur, DSP Jaswent Singh.

ā€œKini kami perlu menewaskan Selangor untuk layak ke separuh akhir. Mereka juga pasukan yang baik.

Bagi Pahang, ia adalah kekalahan buruk kedua selepas tewas 2-7 di tangan Selangor.

Pulapol KL memusnahkan harapan Selangor apabila melakar kemenangan 3-1 bagi melonjak ke tangga teratas Kumpulan B dengan enam mata.

Kapten pasukan, Baljit Singh yang juga bekas pemain kebangsaan meledak dua gol minit ke-29 dan 39 menerusi pukulan sudut penalti dan Azrul Shah Ramli menambah satu lagi gol. Gol saguhati Selangor hadir menerusi Hendryvon Mejerry menerusi pukulan sudut penalti minit ke-28.

Dalam aksi Kumpulan A yang terjejas disebabkan hujan, juara bertahan, Bukit Aman merekodkan kemenangan kedua dengan menewaskan Johor 5-1 manakala Perak menang 1-0 ke atas Briged Tengah menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1.

Bukit Aman hampir mengesahkan tempat ke separuh akhir dengan mengumpul enam mata. Aksi terakhir Kumpulan A menyaksikan Bukit Aman menentang Briged Tengah manakala Perak bertemu Johor.

 

 

- Advertisement -