Sabah terus membuktikan kecemerlangan mereka apabila mengesahkan tempat ke separuh akhir dalam saingan hoki Divisyen 1 Piala Ketua Polis Negara 2018 yang berlangsung di Stadium Hoki Wisma Belia di Kuantan, hari ini.

Kembali membuat penampilan selepas 22 tahun, Sabah membuktikan kehebatan dengan menewaskan Kedah 2-0 bagi mengungguli carta Kumpulan A.

Mereka kini mengumpul enam mata dan akan melengkapkan saingan peringkat kumpulan menentang Briged Utara esok.

Sabah yang kali terakhir beraksi pada 1996 memulakan kempen dengan cemerlang apabila mengatasi Kelantan 3-1 semalam.

“Misi kami di sini adalah untuk layak ke separuh akhir dan kami berjaya mencapainya,” kata pengelola pasukan Sabah, Supt Nor Azizulkifli Mansor.

“Namun, kami perlu mengekalkan kecemerlangan ini dan melangkah sejauh mungkin. Motivasi dalam pasukan cukup tinggi ketika ini.”

“Begitupun kami tidak boleh terlalu yakin. Kami perlu mempamerkan aksi terbaik dalam setiap pemain. Ini suntikan semangat untuk kami dan proses pembelajaran.”

Fredsy Anak Lebak meletakkan Sabah di depan menerusi gol padang pada minit ke-30 dan Mohd Firdaus Abdul Ghani melengkapkan kemenangan hasil jaringan minit ke-53 menerusi pukulan sudut penalti.

Briged Utara melonjak ke tangga kedua Kumpulan A dengan empat selepas menang 3-1 ke atas Kelantan. Merek tewas 1-2 menerusi penentuan penalti di tangan Kedah dalam aksi pembukaan semalam selepas terikat 1-1.

Pasukan yang menang penentuan penalti meraih dua mata manakala yang kalah satu mata.

Kelantan terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Muhamad Khairi Abdul Jalil menerusi gol padang pada minit ke-20.

Bagaimanapun, Briged Utara bangkit daripada ketinggalan menerusi dua gol Mohd Syarifuddin Amiruddin minit ke-42 dan 59 manakala Mohd Izwan Mustaffar turut meledak gol minit ke-50.

Dalam saingan Kumpulan B, Terengganu menewaskan Perlis 3-2 untuk mara ke separuh akhir. Mereka mengekalkan rekod tanpa kalah selepas tiga perlawanan.

Negeri Sembilan pula menewaskan Melaka 1-0 untuk mencatat kemenangan kedua dalam tiga perlawanan manakala Briged Tenggara turut menewaskan Perlis 2-1 bagi berkongsi enam mata.

Briged Tenggara berada di kedudukan kedua carta kumpulan manakala Negeri Sembilan ketiga.

 

- Advertisement -