Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman mengesahkan sasaran bagi kontinjen Malaysia di Sukan Asia 2018, Indonesia akan diumumkan pada 10 Ogos nanti.

“Kita akan buat majlis penyerahan bendera kepada kontinjen Malaysia pada 10 Ogos nanti bersama Perdana Menteri. Ketika itu nanti kita akan umumkan perancangan yang telah dibincangkan,” kata Syed Saddiq.

Beliau juga enggan mengulas lanjut tentang jumlah sasaran dan mahu ianya diumumkan ketika majlis penyerahan itu nanti.

Ketika Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan pada 2014, Malaysia berada dikedudukan ke 14 daripada 37 negara yang engambil bahagian dengan lima emas, 14 pingat perak dan 14 pingat gangsa.

Dalam pada itu, Syed Saddiq mahu sebarang spekulasi berkaitan Datuk Lee Chong Wei dengan skandal 1MDB dihentikan kerana ia dianggap sebagai tidak berasas.

“Ianya adalah perkara yang mengarut, berunsur penipuan dan fitnah. Saya minta jangan dicampurkan hal melibatkan atlet negara dengan poilitik,”kata Syed Saddiq lagi.

Tambahnya lagi, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Datuk Lee Chong Wei di kediamannya pada Rabu lalu dan telah dimaklumkan Chong Wei menghadapi masalah pernafasan.

Chong Wei bukan sahaja tidak mengambil bahagian di Sukan Asia Ogos depan, malah sah tidak mengambil bahagian di kejohanan Dunia di Nanjing, China yang sudahpun bermula hari ini.

- Advertisement -