Bojan Hodak kembali menurunkan semua tonggak utamanya seperti Hadi Fayyadh, Akhyar Rashid, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Shivan Pillay Asokan yang direhatkan ketika menang 2-0 ke atas Brunei pada Jumaat lalu, namun pasukan B-19 negara sekadar mampu melakar keputusan seri 1-1 menentang Timor Leste.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia mengumpul tujuh mata namun tergelincir ke tangga kedua menerusi beza jaringan di belakang Myanmar yang membelasah Brunei 7-1 sekaligus meletakkan mereka dalam bahaya tersingkir awal dari saingan Kejuaraan AFF B-19 2018 yang sedang berlangsung di Indonesia.

Pasukan B-19 negara yang merupakan finalis musim lalu kini wajib menang ke atas Myanmar dalam aksi terakhir untuk mengesahkan tempat di separuh akhir.

Dalam aksi di Stadium Gelora Joko Samudro, Gersik , skuad negara yang menang dua perlawanan terdahulu gagal menterjemahkan prestasi terbaik dan terpaksa mengharapkan jaringan penyamaan oleh bintang muda Kedah Akhyar Rashid pada minit ke-30 untuk menyelamatkan satu mata menentang Timor Leste.

Ia adalah jaringan kedua pemain berusia 19 tahun itu di kejuaraan kali ini.  Timor Leste mendahului menerusi percubaan Mouzinho De Lima yang menewaskan Shafiq Afifi di gawang negara pada minit ke-13.

Timor Leste yang berada di tangga ketiga dengan lima mata berpeluang untuk mengulangi pencapaian ke separuh akhir pada 2016 jika mereka menewaskan Kemboja dalam aksi terakhir dan Malaysia pula gagal mengutip mata dari perlawanan menentang Myanmar. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -