Saingan kejohanan Badminton Terbuka Singapura menyaksikan dua wakil negara meneruskan cabaran ke pusingan suku akhir.

Pasangan beregu campuran Malaysia Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai beraksi cemerlang apabila mara ke suku akhir selepasĀ menewaskan gandingan dari China, Xiangyu Ren-Tang Jinhua 21-19, 21-9 dalam masa hanya 31 minit.

Kejohanan berkenaan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah AS$355,000 (AS$1=RM4.055) berakhir, Ahad ini.

Bergu campuran kedua negara itu akan berdepan gandingan Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari.

Bagaimanapun, nasib berbeza menimpa dua bekas pemain perseorangan lelaki negara, apabila Chong Wei Feng mengejutkan pemain Thailand, Pannawit Thongnuam 21-11, 21-16, manakala Liew Darren tumpas kepada pemain Indonesia, Ihsan Maulana Mustofa 21-23, 16-21.

Wei Feng akan berdepan Qiao Bin dari China bagi menempah tempat ke separuh akhir esok.

Dalam pada itu, pasangan beregu lelaki negara Mohamad Arif Ab Latif-Nur Mohd Azriyn Ayub mara ke suku akhir selepas menumpaskan rakan senegara Goh Sze Fei-Tan Wee Gieen 21-11, 21-8.

Pasangan Malaysia itu akan bertemu Ou Xuanyi-Xiangyu Ren dari China di suku akhir, esok.

Sementara itu, cabaran satu lagi pasangan beregu lelaki serta beregu wanita negara berakhir pada kejohanan berkenaan.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang baru disenaraikan untuk beraksi pada Kejohanan Dunia di Nanjing, China akhir bulan ini, tewas kepada pasangan Indonesia Angga Pratama-Rian Agung Saputro.

Mereka kalah dalam pertarungan tiga set, 21-19, 18-21, 22-20 yang berlangsung selama 58 minit.

Goh Yea Ching-Vivian Hoo pula kalah kepada pilihan keempat Chayanit Chaladchalam-Phataimas Muenwong dari Thailand 12-21, 20-22.

- Advertisement -