Pengendali Kelantan, Yusri Che Lah tidak akan sesekali mengangkat bendera putih walaupun menyedari ianya semakin sukar untuk menyelamatkan pasukan itu dari tersingkir ke saingan Liga Premier.

Yusri akur kedudukan Kelantan ketika ini ibarat ‘telur di hujung tanduk’ malah segalanya seakan tidak menjadi buat mereka tetapi percaya masih ada ruang untuk keajaiban berlaku.  

“Situasinya mungkin sedikit berbeza kalau kita menang ke atas Melaka, hanya beberapa saat sahaja memisahkan kita dari melakukannya. Sudah tentu saya kecewa, terlalu kecewa. Kita perlu menang semua tiga perlawanan yang tinggal sambil mengharapkan keputusan lain juga memihak kepada kita.

“Saya tahu pemain sentiasa memberikan yang terbaik, kredit kepada mereka, mereka tidak pernah berputus asa. Sebab itu saya sentiasa optimis, jika saya pun berputus asa siapa yang akan memberikan mereka keyakinan, motivasi dan semangat untuk terus berjuang?” ujar Yusri.

Kelantan terlepas peluang untuk melakar kemenangan penting ke atas Melaka United di Kota Bharu pada Sabtu, sekadar berpuas hati dengan satu mata setelah seri 1-1, dikecewakan menerusi penalti masa kecederaan oleh Yahor Zubovich.

Keputusan itu menyaksikan The Red Warriors ketika ini lima mata dipisahkan dari zon penyingkiran dengan hanya tiga perlawanan berbaki. Mereka mengumpul 15 mata dan berada di tangga kesebelas dan hanya tiga pasukan sahaja yang masih boleh dipintas oleh mereka jika dapat memenangi tiga aksi terakhir iaitu PKNP FC, Selangor dan Kuala Lumpur.

Tetapi, jika melakukan kebangkitan dengan memenangi tiga perlawanan terakhir sekalipun, mereka tetap perlu mengharapkan salah satu daripada PKNP FC, Kuala Lumpur dan Selangor mencicirkan mata dalam baki perlawanan masing-masing yang dilihat sebagai mustahil.  

Kelantan sebenarnya mungkin tidak perlu menunggu sehingga ke minggu terakhir untuk mengetahui nasib mereka. Aksi seterusnya menentang Johor Darul Takzim di Larkin pada 20 Julai dilihat akan menjadi penentu, jika tewas mereka boleh mengucapkan selamat tinggal kepada Liga Super selepas 10 musim.  

Dua aksi selepas itu adalah menentang Terengganu pada 23 Julai dan Pahang pada 29 Julai. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -