Pingat emas kelima Malaysia akhirnya muncul hari ini menerusi jaguh trek negara, Azizul Hasni Awang yang muncul juara dalam acara pecut individu di Velodrom Antarabangsa Jakarta hari ini.

Laluan penuh liku terpaksa dilalui Azizul sebelum memastikan slot final menjadi miliknya dimana hampir kesemua kemenangan yang diraih terpaksa ditentukan menerusi photo finish.

Berdepan jaguh dari Jepun, Tomohiro Fukaya, Azizul yang dikenali dengan Jijoe nyata tidak diberi ruang untuk melakukan kesilapan.

Namun percaturannya bersama sama John Beasly nyata membuahkan hasil di Sukan Asia 2018 selepas kecewa empat tahun lalu apabila pulang dengan tangan kosong.

Azizul membuktikan kemampuannya, meskipun bertubuh kecil, kudrat dan latihan yang telah dijalani sebelum turun ke Sukan Asia dibayar dengan kalungan pingat emas selepas menang 2-0 dalam aksi final.

Ini merupakan pingat kedua Azizul di Sukan Asia Indonesia selepas meraih pingat perak dalam acara pecut berpasukan lelaki.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat dalam acara ini ketika Sukan Asia 2002 di Korea Selatan menerusi Josiah Ng yang meraih pingat perak.

Kemenangan ini juga menyaksikan Azizul Hasni memecah tradisi sebagau pelumba trek negara pertama memenangi pingat emas dalam acara pecut individu.

Pingat perak milik Tomohiro Fukaya manakala pingat gangsa milik Chaebin IM dari Korea Selatan yang mengecewakan seorang lagi pelumba negara, Muhd Shah Firdaus Shahrom 2-1 dalam penentuan pingat gangsa.

Di peringkat separuh akhir, Shah Firdaus tumpas kepada Tomohiro 2-0.

Kemenangan ini sekaligus diharapkan mampu membuka mata Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Abu Samah Wahab yang sebelum ini menyatakan Jijoe berdepan kesukaran untuk memburu tiket untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 nanti.

- Advertisement -