Pemain Squash Malaysia Low Wee Wern melakukan servis saat melawan pemain Squash Jepang Misaki Kobasyashi pada penyisihan Squash Beregu Putri Asian Games 2018 di Stadion Squash GBK (GBK-Squash Stadium), Jakarta, Rabu, (29/8). ANTARA FOTO/INASGOC/Sakti Karuru/inp/18

Pasukan skuash wanita Malaysia berada dalam landasan tepat untuk mempertahankan pingat emas buat kali ketiga berturut-turut apabila melangkah ke separuh akhir Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dengan penuh bergaya setelah mencatat rekod sempurna menang kesemua empat perlawanan peringkat kumpulan tanpa mencicirkan walau satu pun mata.

Dalam aksi terakhir Kumpulan A pada Rabu, pasukan diketuai Nicol David menewaskan Jepun 3-0 dan muncul selaku juara kumpulan dengan lapan mata.

Pasukan yang turut dibarisi oleh S.Sivasangari, Aifa Azman dan Low Wee Wern itu sebelum ini telah pun menewaskan Pakistan, Korea Selatan dan Filipina semuanya dengan keputusan 3-0.

Bagaimanapun, cabaran sebenar buat Malaysia adalah di peringkat separuh akhir yang dijadual berlangsung Jumaat, di mana lawan yang menanti adalah sama ada finalis empat tahun lalu India ataupun Hong Kong.

ā€œKita mempunyai sebuah pasukan yang cukup baik dan boleh disandarkan harapan. Sivasangari dan Aifa walaupun muda dan baru pertama kali beraksi mereka kelihatan bertenaga dan yakin, boleh berdepan sesiapa sahaja manakala Wee Wern pula berada pada tahap terbaik selepas pulih daripada kecederaan. Separuh akhir sudah tentunya berbeza, jadi kita perlu kekalkan fokus untuk meneruskan dominasi dalam acara ini,ā€ kata Nicol.

Sejak acara berpasukan diperkenalkan pada 2010, Malaysia adalah pemenang tunggal pingat emas. Nicol, Delia Arnold, Sharon Wee dan Wee Wern memenanginya di Guangzhou 2010 manakala pada 2014 pula menerusi Nicol, Delia, Wee Wern dan Vanessa Raj.

Dalam pada itu, turut melangkah ke separuh akhir adalah pasukan lelaki negara diketuai Nafiizwan Adnan yang melakar kemenangan keempat berturut-turut dengan menewaskan Qatar 2-1.

Mereka akan berdepan India dalam aksi terakhir kumpulan pada Khamis untuk menentukan kedudukan juara kumpulan. – OLEHĀ MUHAMMAD AIMANĀ 

- Advertisement -