Matlamat utama mahu mencari dana, tetapi nama orang lain jadi taruhan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang tampak terdersak untuk mendapatkan wang.

Laporan akhbar tempatan, Abu Samah telah mengadakan pertemuan dengan penaja skuad trek negara CIMB dan mendakwa Azizul memerlukan ‘bantuan’ kerana harapan untuk jaguh keirin negara itu layak ke Olimpik Tokyo 2020 agak sukar.

Azizul menerusi laman sosial Instagram nyata kecewa dengan kenyataan Abu Samah, malah membidas semula dengan fakta yang jelas.

“Negara itu akan mendapat dua tempat bagi kedua-dua acara keirin dan pecut… negara yang tidak mempunyai pasukan pecut yang kuat boleh melayakkan diri menerusi kelayakan individu di mana tujuh negara berikutnya (selain daripada lapan pasukan pecut teratas) akan mendapat satu tempat masing-masing bagi kedua-dua acara tersebut.

“Kelayakan individu (di luar kelayakan pasukan pecut) akan melayakkan mereka mendapat tujuh tempat untuk acara pecut dan tujuh tempat bagi acara keirin. Jika anda mendapat tempat bagi acara keirin, anda secara automatik juga akan mendapat tempat untuk acara pecut dan begitulah sebaliknya.

“Keseluruhannya terdapat 30 tempat untuk acara keirin dan pecut di mana 14 tempat adalah dari individu dan 16 tempat dari pasukan pecut,” kata Azizulhasni dalam catatan Instagram beliau.

“Jadi kepada penulis berkenaan dan presiden itu, jika kita keluarkan negara-negara yang pasukan pecutnya kuat seperti New Zealand, Belanda, Rusia, Great Britain, Jerman dan Australia, peluang saya dan Shah Firdaus untuk layak ke Olimpik Tokyo 2020 bukan sahaja boleh dicapai bahkan kemungkinan besar akan dicapai.

“Ini berdasarkan pencapaian semasa kami (perlumbaaan dan masa) dan prestasi kami yang konsisten dalam pertandingan,” kata Azizulhasni yang dipetik di laman sosial tersebut.

Azizul atau Jijoe menghubungi Abu Samah untuk mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan yang dikeluarkan di dalam laporan akhbar tempatan.

“Saya terkejut apabila dia (Abu Samah) menyatakan ketika perbualan telefon bahawa PKBM mahu mendapatkan dana dan tajaan untuk menganjurkan sekurang kurangnya tiga perlumbaan Grand Prix di Velodrom Kebangsaan di Nilai dengan niat untuk membantu saya melayakkan diri ke Olimpik Tokyo 2020.

“Apa yang boleh saya katakan matlamat PKBM adalah untuk mencari dana bagi menganjurkan kejohanan. Tetapi kenapa beri kenyataan yang tidak betul kepada orang ramai? Kenapa gunakan saya sebagai ‘medium’ untuk dapatkan duit? Awak memang keterlaluan,”kata Azizul lagi.

Ia jelas sesuatu yang cukup memalukan bagi individu yang masih belum belajar dan insaf daripada kesilapan lalu apabila menggunakan nama atlet terbaik sukan itu bagi mendapatkan peruntukkan tetapi menyalurkan maklumat yang tidak tepat.

PKBM mungkin sedar tiada pihak yang mahu melihat atau bersimpati dengan mereka ketika ini susulan pengurusan yang lemah serta rekod buruk yang telah didedahkan sebelum ini.

- Advertisement -