Pengendali skuad bawah 23 tahun Malaysia, Dato’ Ong Kim Swee enggan terus meratap kecewa dan mahu pemainnya mengambil iktibar serta pengajaran dari kekalahan menerusi jaringan penalti minit akhir Ayase Ueda kepada Jepun dalam aksi pusingan kedua Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.

Kim Swee kini mengalihkan fokusnya membawa pasukan layak beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 sekaligus menokhtahkan penantian 38 tahun untuk beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.

Untuk layak ke Olimpik, Malaysia perlu muncul sebagai tiga pasukan terbaik di pusingan akhir Kejuaraan AFC B-23 pada Januari 202, tetapi sebelum memikirkan mengenai pusingan akhir, skuad Kim Swee perlu terlebih dahulu melepasi pusingan kelayakan AFC B-23 yang akan berlangsung pada Mac 2019.

“Separuh daripada skuad ini masih layak untuk bermain di pusingan kelayakan AFC B-23 tahun depan. Bagi saya ia satu pendedahan dan pengalaman yang bagus buat pemain-pemain ini. Saya juga masih boleh menggunakan khidmat Syamer Kutty dan Daniel Amier (Norhisham).

 

“Kita perlu buat perancangan, tengok Jepun, mereka sudah ada perancangan dua tahun ke depan untuk bermain di Olimpik dengan mendedahkan pemain bawah 21 tahun mereka di kejohanan ini. Jadi kita juga perlu merancang sesuatu yang lebih baik untuk memburu tiket bermain di Tokyo 2020.

“Saya percaya FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) sudah ada perancangan tersebut. Tempoh kira-kira enam atau tujuh bulan yang ada sebelum kelayakan perlu digunakan sebaik mungkin untuk mempersiapkan sebuah skuad yang boleh memberi saingan sengit di kelayakan dan kemudiannya di pusingan akhir,” kata Kim Swee.

Begitupun dengan skuad yang ada ketika ini, bolehkah sasaran untuk layak ke Olimpik itu dicapai? Bayangkan ketika tewas kepada Jepun, Kim Swee tidak langsung membuat pertukaran kerana dia berpendapat tiada keperluan untuk berbuat demikian.

Tiada keperluan, atau tiada pilihan pemain yang berkualiti? Jawapan Kim Swee itu secara tidak langsung memberitahu kita hanya 11 pemain kesebelasan utama itulah yang boleh disandarkan harapan dan dalam situasi genting, tiada siapapun dalam senarai simpanan yang boleh dibawa masuk untuk merubah keadaan.

Kim Swee sendiri pernah berterus terang mengatakan prestasi pemain simpanan ketika tewas 2-3 kepada Bahrain sangatlah mengecewakan.

Apa yang penting kini, lebih ramai pemain dari skuad juara Kejuaraan AFF B-19 perlu direkrut dan diberi pendedahan. Mereka tidak boleh semata-mata bermain di dalam Piala Presiden atau Piala Belia, ataupun sekadar memanaskan bangku simpanan.

Mereka perlu bermain secara kerap dalam skuad utama sepertimana Akhyar Rashid dan Nik Akif Syahiran Nik Mat. Perlu ada talented pool of players yang ramai, sekurang-kurangnya 40 pemain dengan material kesebelasan utama dipersiapkan dalam tempoh dua tahun akan datang.

Jika hanya mempunyai cukup-cukup 11 pemain yang bagus, selebihnya sekadar pelengkap, Kim Swee boleh lupakan Olimpik. MUHD AIMAN 

- Advertisement -