Tiada istilah bertahan sepanjang 90 minit permainan melibatkan pertemuan kedua diantara Malaysia dan Brunei Darussalam di Kejuaraan AFF B16 tahun di Stadium Joko Samudro, Indonesia petang semalam.

Perubahan kesebelasan utama berbanding aksi sulung menentang Thailand tampak membuahkan hasil buat Raja Azlan Shah Raja So’ib kerana tahu Malaysia perlu menang ke atas Brunei untuk menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati.

“Kami melakukan banyak pertukaran disemua bahagian dan konsep kami adalah menyerang dan mencari seberapa banyak gol yang kami mampu.

“Kredit juga harus diberikan kepada setiap pemain pemain yang bekerja keras dan berfikiran positif, malah berjaya mengawal tempo permainan ketika menyerang dan bertahan,”kata Raja

Tambah Raja Azlan lagi, tiada masalah yang dihadapi pemain pemain dan kelebihan daripada aspek stamina dilihat sebagai salah satu faktor yang memberi kelebihan kepada Malaysia untuk meraih gol.

Selepas tewas kepada Thailand lima hari lalu, Malaysia turun dengan semangat yang baru ketika menentang Brunei.

Hanya dua minit diperlukan Harimau Muda untuk meledak gol menerusiMuhd Asman Asrul Sulkarnain sebelum Muhd Fahmi Mohd Zaaim melebarkan kedudukan kepada 2-0 di minit ke 27.

Dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, skuad kendalian Raja Azlan Shah menambah derita Brunei dengan gol ketiga, kali ini giliran Mohd Ikhwan Mohd Hafizo melakar nama selaku penjaring.

Belum sempat Brunei mengatur gerakan untuk mengurangkan defisit gol, Harith Naem Jaineh menambah koleksi gol untuk Malaysia di minit ke 46 sebelum Asman menjaringkan gol kedua peribadinya lima minit berselang untuk kedudukan 5 gol tanpa balas.

Kealpaan penjaga gol, Abdul Alim Ali mengundang padah apabila pengadil menghadiah sepakan penalti kepada Brunei kerana mengasari Mohd Nazry Azman.

Mohd Eddy Omar tidak mensia siakan peluang terhidang untuk menghadiahkan gol saguhati buat Brunei.

Jaringan Muhd Danial Amali memastikan Brunei tidak senyum lama apabila melengkapkan gol keenam Malaysia di masa tambahan selepas tamat masa sebenar.

Disebalik kejayaan yang dikecapi, Raja Azlan masih belum mahu mendabik dada kerana penilaian terhadap pemain pemain, masih belum di tahap yang memuaskan.

“Ada pemain pemain yang tidak mencapai tahap yang ditetapkan ketika diberi peluang untuk bermain, dan pertukaran dilakukan bagi memberi ruang kepada pemain pemain lain untuk beraksi,”katanya lagi.

Selepas dua perlawanan, Malaysia menghuni tangga ketiga dengan tiga mata, tiga mata dibelakang Laos yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas dua perlawanan dalam saingan kumpulan B.

Manakala Thailand terus membuktikan kehebatannya selaku pendahulu kumpulan dengan mata maksima selepas mengharungi tiga perlawanan.

- Advertisement -