“Sebelum ini memang Pahang ada memohon untuk mendaftarkan (Mohamadou) Sumareh sebagai pemain tempatan, mereka nak daftarkan Sumareh sebaik dapat kad pengenalan dan kita telah menolak berdasarkan peraturan yang termaktub.

“Jadi mereka hanya pernah memohon, selepas itu setahu saya mana ada buat rayuan. Rayuan perlu dibuat berdasarkan keputusan permohonan sebelum ini, ” kata Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Football League, Kevin Ramalingam.

Respons Kevin itu adalah susulan kenyataan daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) bahawa mereka sudah menghantar rayuan kepada badan pengelola Liga Malaysia itu supaya membenarkan Sumareh yang kini memegang kerakyatan Malaysia dapat didaftarkan sebagai pemain tempatan.

PBNP menerusi pengurus pasukan Datuk Mohammed Sufian Awang berharap rayuan mereka diberikan pertimbangan wajar setelah Kevin pada Rabu lalu menjelaskan bahawa pemain kelahiran Gambia itu perlu menunggu lima tahun selepas diberi kerakyatan, iaitu sehingga 2023 untuk membolehkannya bertukar status import kepada tempatan.

Apapun, Kevin beranggapan itu mungkin hanyalah salah faham dari pihak PBNP dan menjelaskan bahawa Lembaga MFL sedia mempertimbangkan sekiranya PBNP mengemukakan rayuan berhubung perkara itu.

“Kita sudah mengumumkan tentang kelayakan dan kriteria yang diperlukan untuk seseorang pemain didaftarkan sebagai pemain tempatan sejak dua tahun lalu, jadi ia bukan satu peraturan baru.

“Kami sudah menjawab permohonan dibuat Pahang dan sekiranya mereka tahu perkara ini dikaji dan diberi pertimbangan, sila kemukakan rayuan. Rayuan bukanlah bermaksud hantar surat kata kami mahu merayu, tetapi contohnya Pahan g boleh kemukakan dokumen untuk menyokong kenapa Sumareh tidak perlu tunggu sehingga lima tahun,” kata Kevin. 

Sumareh bagaimanapun layak untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan sekiranya Persatuan Bolasepak Malaysia bersetuju untuk meluluskan penggunaan pemain naturalisasi dalam skuad Harimau Malaya.

Pemain berusia 23 tahun itu merupakan tonggak skuad Pahang dan antara pemain import terbaik dalam saingan bolasepak tempatan. Sebelum mewakili Pahang dia pernah bermain untuk Perlis dan PDRM. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -