Tinggal kurang seminggu sebelum bermula acara bolasepak di temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, pengendali skuad bawah 23 tahun negara Dato’ Ong Kim Swee nampaknya masih pening memikirkan siapa gandingan terbaik untuk dipertaruhkan sebagai enjin tengah pasukan.

Kim Swee nampaknya masih tidak boleh ‘move on’ dengan ketiadaan Norazam Azih yang tidak dilepaskan Pahang dan dia turut kehilangan pemain Johor Darul Takzim, Syamer Kutty Abba kerana kecederaan.
Dalam situasi ini, pengendali itu seharusnya tidak lagi meratapi pemain yang tiada sebaliknya manfaatkan pemain yang sedia ada dalam pasukan walaupun diakui dia mempunyai pilihan yang sangat terhad untuk dipertaruhkan.

Baddrol Bakhtiar pastinya menjadi nama wajib namun selebihnya dia cuma ada dua pemain iaitu Daniel Amier Norhisham yang menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Arab Saudi di Kejuaraan AFF B-23 pada Januari lalu serta pemain muda yang semakin mencipta nama, Nik Akif Syahiran Nik Mat. Syahmi Safari yang boleh bermain di pelbagai posisi adalah seorang lagi opsyen yang mungkin difikirkan sesuai.

Memburukkan keadaan, terdapat keraguan mengenai peluang Daniel Amier untuk berada dalam senarai akhir skuad Sukan Asia kerana dia turut bergelut dengan kecederaan dan tidak dapat diturunkan ketika aksi persahabatan menentang China pada 5 Julai lalu.

Andai kata Daniel Amier terpaksa disisihkan, ini bermakna Nik Akif adalah satu-satunya ‘genuine-midfield playmaker’ yang Kim Swee ada.

Begitupun, Kim Swee tidak perlu takut untuk mempertaruhkan Nik Akif. Pada usia 19 tahun, Nik Akif sudahpun meletakkan dirinya sebagai material kesebelasan utama dan merupakan pemain paling menyerlah dalam skuad serba bermasalah Kelantan musim ini.

Dia merupakan anggota skuad bawah 23 tahun negara (B-23) yang mencipta sejarah layak ke suku akhir Kejuaraan AFC B-23 pada Januari lalu dan pada bulan lalu, Nik Akif terus mencuri tumpuan apabila dua gol jaringannya membantu skuad B-19 tahun Malaysia kendalian Bojan Hodak menjulang Kejuaraan AFF B-19 buat kali pertama dalam sejarah dengan menewaskan Myanmar 4-3.

Nik Akif menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan menerusi sepakan percuma cantik dan dia semakin membara mahu mengulangi sentuhan cemerlang itu di pentas lebih besar.

“Saya mahu terus mengorak langkah ke depan, ia satu penghormatan besar apabila dipanggil menyarung jersi negara di temasya besar seperti ini dan saya tidak mahu sia-siakannya.

“Sudah tentu saya tidak mahu sekadar menjadi pelengkap di dalam skuad, setiap pemain impikan peluang seperti ini dan saya mahu diberi peluang beraksi, saya akan bekerja keras untuk meyakinkan jurulatih,” ujarnya ketika ditemui Sports247.

Nik Akif hanyalah seorang daripada dua pemain skuad B-19 dipanggil ke kem latihan pusat skuad B-23, seorang lagi adalah Akhyar, dan dia juga menyatakan kesediaan menggalas tanggungjawab menggerakan enjin tengah pasukan.

“Pemain seperti Norazam adalah aset tengah pasukan, jadi ketiadaannya memang satu kehilangan, tetapi ini masanya untuk pemain lain membuktikan, termasuk saya sendiri. Saya telah diberi peluang untuk berganding dengan Baddrol (Bakhtiar) dalam aksi persahabatan menentang China.

“Keserasian itu ada, persefahaman masih boleh ditambahbaik, jurulatih tentunya ada perancangan sendiri, siapa yang mahu diletakkan mengikut kesesuaian lawan, taktikal, formasi, tetapi jika jika diberi peluang tersebut, saya bersedia untuk membalas kepercayaan tersebut,” tambahnya.

Kim Swee dijangka menguji keberkesanan gandingan Baddrol-Nik Akif dalam aksi pemanas badan terakhir menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 10 Ogos (Jumaat) sebelum terbang ke Indonesia.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E akan membuka tirai Sukan Asia dengan menentang Kyrgyzstan pada 15 Ogos diikuti juara bertahan Korea Selatan pada 17 Ogos dan Bahrain pada 20 Ogos. MUHD AIMAN 

- Advertisement -