Pengurus pasukan Modenas Racing Team, Razali Ahmad berharap pelumbanya, Luqman Shakiemi Hakim dapat terus memberi aksi terbaik dan layak ke pusingan Shootout kelas CP115 pada pusingan keempat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 di Temerloh, Pahang, 18 dan 19 Ogos ini.

Luqman secara konsisten berjaya memacu jentera Modenas ke kelompok 10 pelumba terbaik pusingan kelayakan sepanjang dua pusingan lepas dimana ia merupakan antara pencapaian terbaik pasukan sejak musim 2017.

“Sebagai pasukan tunggal yang menggunakan jentera Modenas, bukan mudah untuk kami menempatkan diri di kelompok hadapan, jadi prestasi Luqman ini cukup baik dan merupakan sesuatu yang positif kepada kami sepasukan,” jelas Razali.

Pada masa sama Razali turut mengingatkan seluruh ahli pasukan untuk terus berusaha bagi mendapatkan pelarasan terbaik dan konsisten serta mampu bertahan sehingga tamat perlumbaan akhir.

“Prestasi yang ditunjukkan Luqman menunjukkan pasukan kami berada di landasan yang tepat. Ujian dan pelbagai jenis pelarasan yang kami lakukan mendatangkan kesan positif.

“Namun masih terdapat banyak kelemahan terutama selepas Luqman gagal menamatkan perlumbaan akhir dalam kedua-dua pusingan lepas.

“Kami akan terus melakukan ujian demi ujian untuk bersaing di kelompok depan. Selain Luqman, saya berharap pelumba-pelumba lain juga mampu memenpatkan diri ke sesi kelayakan Shootout dan bersaing di kelompok 10 pelumba terbaik selepas ini termasuk dalam kategori Wira KBS.”

- Advertisement -