Skuad bawah 23 tahun negara melakar kejutan apabila mengejutkan pemenang pingat emas yang juga juara bertahan, Korea Selatan 2-1 dalam aksi kedua kumpulan E di Stadium Si Jalak Harupat.

Ibarat pertarungan ulangan empat tahun lalu di Incheon, Malaysia turut sekali lagi berdepan Korea Selatan dalam misi memburu sekurang kurangnya satu mata ke atas Korea Selatan bagi aksi kedua kumpulan E di Stadium Si Jalak Harupat.

Kelibat penyerang Tottenham Hotspurs, Heung Min Son di bangku simpanan memperlihatkan keyakinan pengendali Korea Selatan Kim Hag Bum yang optimis mampu meraih kemenangan ke atas Malaysia.

Namun lain pula ceritanya yang terjadi di minit kelima apabila kesilapan pemain pertahanan Korea Selatan, Hwang Hyun Soo yang bertembung dengan penjaga gol, Song Bumkeun dimanfaatkan Safawi Rashid yang mudah menolak bola ke gawang untuk meletakkan Malaysia mendahului 1-0.

Korea Selatan yang juga pemenang pingat emas Sukan Asia edisi ke 17 di Incheon empat tahun lalu menggandakan asakan dan mempunyai tiga peluang keemas untuk mencetak gol.

Peluang pertama hadir di minit ke 18, namun rembatan Hwang Ui Jo sekadar melewati palang gol Malaysia.

Percubaan kedua Korea Selatan hadir di minit ke 33, namun penjaga gol negara Muhd Haziq Nadzli cemerlang menafikan percubaan Hwang Hee Can.

Lima minit berselang, Hwang Hee Can membuka ruang kepada pemain tengah Kim Jungmin, namun voli dari luar kotak penalti tersasar.

Ketika aksi tampak seakan akan berakhir dengan kelebihan satu gol untuk Malaysia, Safawai sekali lagi mencuri tumpuan apabila menewaskan pemain pertahanan Hwang Hyunsoo sebelum melepaskan rembatan rendah kaki kiri untuk menewaskan Song Bumkeun buat kali kedua sebelum tamat separuh masa pertama sekaligus meletakkan skuad bawah 23 tahun negara mendahului Korea Selatan 2-0.

Malaysia tampak lebih banyak berkubu di laman sendiri di babak kedua perlawanan susulan serangan bertali arus Korea Selatan.

Kim Hag Bum memasukkan bintang Piala Dunia 2018, Heung Min Son di minit ke 57 untuk menambah tekanan ke atas barisan pertahanan Malaysia.

Kubu Malaysia akhirnya bolos apabila Hwang Ui Jo melepas perangkap ofsaid sebelum menewaskan Haziq Nadzli untuk merapakan jurang 1-2 buat Korea Selatan.

Peluang terbaik Korea untuk menyamakan kedudukan hadir di minit ke 89 , namun sepakan percuma Heung Min Son gagal menggegar gawang Malaysia.

Tiada jaringan dicipta, menyaksikan kejutan besar di Si Jalak Harupat apabila Malaysia mengejutkan Korea Selatan sekaligus mendahului kumpulan E selepas dua perlawanan dengan mata maksima.

Malaysia akan melengkapkan perlawanan menentang Bahrain pada 20 Ogos depan .

BAHRAIN HAMPIR KECEWA, AHMED SANAD LEDAK GOL PENYAMAAN 

Terdahulu, Bahrain dan Kyrgystan masing masing berkongsi satu mata selepas terikat dua sama.

Kedua dua pasukan tewas dalam aksi pembukaan terdesak memburu mata untuk menghidupkan peluang ke peringkat kalah mati.

Bahrain mendahului di babak pertama menerusi Mohamed Marhoon, namun Kyrgystan menyamakan kedudukan menerusi Odilzhon Abdurakhmanov di minit ke 59.

Skuad kendalian Igor Kudarenko mendahului Bahrain apabila pemain tengah, Ernist Batyrkanov menjaringkan gol kedua untuk Kyrgystan di minit ke 82.

Impian Kyrgystan untuk tiga mata penting musnah apabila Ahmed Sanad menyamakan kedudukan dipenghujung masa tambahan selepas tamat 90 minit permainan.

 

- Advertisement -