Persatuan Bolasepak India Malaysia (MIFA) melakar kejutan besar pada penampilan sulung mereka dalam saingan Piala Malaysia apabila menewaskan juara bertahan, Johor Darul Takzim 2-1 pada Ahad.

Lebih manis, skuad bimbingan K. Devan itu mengaibkan sang harimau selatan di gelanggang keramat mereka sendiri – Stadium Tan Sri Hj Hassan Yunus sekaligus menjadi pasukan kedua musim ini untuk menang di Larkin selepas Pahang melakukannya dalam saingan Piala FA.

MIFA yang menduduki tangga ketiga Liga Premier musim ini, mendahului pada minit ke-10 menerusi jaringan Kpah Shaun Sherman namun tuan rumah berjaya bangkit  menyamakan kedudukan menerusi penalti Fernando Marquez pada minit ke-68.

Bae Beungeum bagaimanapun memastikan JDT berputih mata apabila menjaringkan gol kemenangan 10 minit sebelum tamat perlawanan sekaligus membolehkan MIFA mendahului Kumpulan C dengan tiga mata.

Satu lagi perlawanan antara Kedah dan Kelantan yang berlangsung di Alor Star berkesudahan dengan keputusan seri tanpa jaringan.

Sementara itu, dalam aksi Kumpulan B pula PKNS FC meneruskan rentak cemerlang musim ini apabila beraksi garang untuk membelasah PDRM 5-2 di Stadium Hang Jebat.

Skuad Datuk K.Rajagobal mendahului pada minit ke-26 menerusi Romel Morales namun PDRM berjaya mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-44 menerusi Petriaor Vdinea.

Bagaimanapun, PKNS tidak lagi “memberi muka” di separuh masa kedua dan menambah empat jaringan menerusi Daniel Ting, Faris Ramli, Rafael Ramazoti dan Safee Sali dan muncul peneraju kumpulan.

Perlawanan yang berlangsung antara Felda United dan Melaka United di Bandar Tun Razak Jengka pula menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata setelah terikat tanpa jaringan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -