Pemain Squash Malaysia Sivasangari Subramaniam (kiri) melawan sesama pemain Malaysia Nicol Ann David pada laga final Squash tunggal putri Asian Games 2018 di Stadion Squash GBK (GBK-Squash Stadium), Jakarta, Minggu (26/8). ANTARA FOTO/INASGOC/Sakti Karuru/inp/18

Bintang muda S.Sivasangari begitu hampir untuk melakar kejutan dalam aksi skuash perseorangan wanita Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 tetapi Dato’ Nicol David membuktikan ia memerlukan sesuatu yang luar biasa untuk mengugat penguasaannya.

Nicol pada Ahad mempertahankan pingat emas Sukan Asia buat kali keempat berturut-turut apabila dua kali bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Sivasangari dengan keputusan 3-2.

Perlawanan di Stadium Skuash Gelora Bung Karno itu menyaksikan bekas pemain nombor satu dunia itu tewas set pertama 11-13 tetapi bangkit memenangi set kedua dengan keputusan 11-9.

Sivasangari yang tampak lebih energetik dan bersemangat tinggi mahu meneruskan sensasi pada penampilan pertama kembali mendahului 2-1 setelah memenangi set ketiga 11-5.

Namun Nicol yang meraikan ulangtahun kelahiran ke-35 hari ini menafikan hajat besar pemain berusia 19 tahun itu dengan menang dua set berikutnya 11-6, 11-8 sekaligus menjadi hadiah hari jadi yang cukup bermakna buat ratu skuash negara itu.

Emas kelima secara keseluruhan daripada acara perseorangan wanita sepanjang enam penampilan di Sukan Asia sejak 1998 turut menjadikan Nicol atlet negara paling berjaya dalam sejarah temasya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -