Juara 33 kali, Selangor kembali semula ke Stadium Shah Alam buat kali pertama selepas dua tahun namun ia gagal memberikan mereka motivasi tambahan apabila dibelasah PKNP FC 0-3 dalam aksi pembukaan Piala Malaysia.

Gol jaringan Hafiz Ramadhan pada minit ke-23, Fandi Ahmad (m-32) dan Ritus Kjaurklis (m-62) memastikan tiga mata buat PKNP bimbingan Abu Bakar Fadzim sekaligus menyaksikan mereka mendahului saingan Kumpulan D dengan mengatasi Pahang dan Sabah yang mengutip satu mata setelah mencatat seri 1-1 di Stadium Darulmakmur.

Pahang mendahului menerusi Augustine Iwuji Amutu sebelum Sabah menyamakan kedudukan menerusi gol sendiri Faisal Rosli.

Sementara itu, Terengganu FC bimbingan Irfan Bakti Abu Salim memulakan kempen mereka dengan kemenangan besar 5-1 ke atas Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Cheras.

Ayam tambatan, Kipre Tchetche menjaringkan hatrik pada minit ke-25, 55 dan 72 manakala Lee Tuck menjaringkan satu gol pada minit ke-44 menerusi sepakan percuma berkelas dunia.

Satu lagi gol Terengganu dijaringkan oleh Igor Zonjic pada minit ke-64. Tiga mata yang diraih membolehkan Terengganu mendahului Kumpulan A dengan mengatasi Perak dan Felcra FC yang mengutip satu mata setelah masing-masing mencatat keputusan seri tanpa jaringan di Stadium Ipoh. MUHD AIMAN 

- Advertisement -