Selepas permulaan yang kurang memberangsangkan dalam saingan kumpulan di Kejuaraan Bolasepak B16 tahun AFF, Malaysia tidak ada pilihan lain selain memastikan kemenangan ke atas Brunei Darussalam esok.

Skuad kendalian Raja Azlan Shah Raja So’ib terus melakukan persiapan biarpun bakal berdepan penyokong fanatik Indonesia.

“Kesemua pemain pemain dalam keadaan baik dan moral mereka cukup tinggi untuk mengharungi perlawanan seterusnya,”kata Raja Azlan.

Jelas Raja lagi, tiada perkara lain yang berlegar di fikiran pengurusan dan pemain pemain, hanya kemenangan yang menjadi buruan andai mahu menghidupkan peluang ke peringkat kalah mati.

Kesilapan pemain pertahanan yang mengakibatkan Malaysia tumpas kepada Thailand dalam aksi pembukaan tidak lagi difikirkan Raja dan barisan kejurulatihan, sebaliknya beliau dijangka mengekalkan barisan pemain untuk pertemuan dengan Brunei.

Dalam pada itu, Raja Azlan turut mengesahkan mengadakan perjumpaan dengan wakil exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersama sama pihak penganjur.

“Semalam ada perbincangan diantara wakil exco FAM dan pihak penganjur yang lebih memfokuskan keselamatan pemain dan pegawai sepanjang kejohanan berlangsung,”kata Azlan lagi.

- Advertisement -