29th SEA Games KL2017 Men Football - Malaysia vs Myanmar - N Thanabalan

 

 

Penyerang skuad bawah 23 tahun Malaysia, N. Thanabalan terpaksa melupakan hasrat beraksi di temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang bermula minggu depan kerana kecederaan lutut.

Penyerang Negeri Sembilan itu sememangnya diketahui bergelut untuk cergas sepenuhnya dari kecederaan lutut yang dialami sejak beberapa bulan lalu malah sebelum ini terlepas peluang menyarung jersi pasukan senior Harimau Malaya pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Fiji bulan lalu.

“Kecederaan ini sudah lama saya alami, sejak sebelum saya dipanggil ke kem senior kebangsaan bulan lepas lagi. Saya sangat kecewa kerana ia memang impian besar saya untuk bermain di Sukan Asia sejak kali pertama dipanggil mewakili negara.

“Saya sudah 23 tahun, jadi ini adalah peluang pertama dan terakhir saya dan akan menjadi satu pencapaian yang besar dalam karier saya tetapi saya akur harapan itu sudah lebur.

“Apapun saya mendoakan rakan-rakan bermain dengan satu semangat dan motivasi yang tinggi sepertimana kita gegar Sukan SEA dulu, dan sepertimana kita tewaskan UAE (persahabatan) tanpa rasa gentar kepada siapapun, saya yakin kita boleh pergi jauh,” kata Thanabalan.

Thanabalan mula menjadi sebutan di kalangan penyokong bolasepak tempatan selepas kecemerlangan ditunjukkan ketika di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 apabila dia muncul penjaring terbanyak pasukan negara dengan empat gol dalam laluan ke final.

Dia turut menjaringkan satu gol ketika skuad negara tewas 1-2 kepada Korea Selatan pada aksi peringkat kumpulan Kejuaraan AFC B-23 Januari lalu di China.

Walaupun ketiadaan Thanabalan sedikit menjejaskan persiapan pasukan apatah lagi pasukan negara sudah sedia kehilangan ramai pemain seperti Matthew Davies, Norazam Azih, Aidil Zafuan Abdul Razak, Syamer Kutty dan Jafri Firdaus Chew, ia mungkin tidak begitu memeningkan Kim Swee memandangkan dia mempunyai pilihan yang banyak untuk dipertaruhkan di barisan depan.

Selain Safawi Rasid dan Akhyar Rashid yang menjaringkan gol ketika aksi persahabatan menentang Emiriah Arab Bersatu pada Jumaat, antara penyerang lain di dalam skuad adalah Syafiq Ahmad, Faisal Halim, R.Kogileswaran, Tommy Mawat Bada dan juga pemain versatile Syahmi Safari.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan E akan membuka tirai Sukan Asia dengan menentang Kyrgyztan pada 15 Ogos, disusuli Korea Selatan pada 17 Ogos dan Bahrain pada 20 Ogos. Sasaran yang diletakkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia ke atas mereka adalah layak ke pusingan kedua. MUHD AIMAN 

- Advertisement -