#Saingan kumpulan A masih terbuka untuk semua pasukan 

 

 

Mahu atau tidak, pertemuan terakhir peringkat kumpulan A menentang Jepun bakal menentukan nasib skuad bawah 16 tahun negara samada layak ke peringkat suku akhir Kejuaraan Bolasepak Piala Konfederasi Asia (AFC) B16 2018.

Malaysia perlu menang bukan sahaja melangkah ke suku akhir, malah menghidupkan peluang ke Piala Dunia B17 di Peru tahun depan dimana pasukan yang mara ke separuh akhir layak secara automatik.

Episod duka skuad Harimau Muda telahpun diketepikan, kini, kesemua pemain perlu memberi tumpuan terhadap persiapan sebelum turun berdepan Jepun pada Rabu di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pemain tengah, Muhd Alif Mutalib tampak optimis Malaysia mampu mengatasi Jepun dalam aksi terakhir kumpulan A.

“Dengan Thailand, kita boleh menang sebenarnya, tetapi disebabkan kad merah di babak kedua, kita tidak cukup pemain dan permainan merudum walaupun kami mula bersemangat.

“Ketika ini saya lihat kami boleh bangkit daripada kekalahan itu untuk bertemu Jepun dan tiada masalah besar dalam pasukan kami,”kata Alif selepas sesi latihan di Wisma FAM petang tadi.

Beliau yang turut dikenali dengan ‘Kancil’ juga mengakui ketiadaan penjaring terbanyak Harimau Muda, Luqman Hakim Shamsudin yang dilayangkan kad merah kontroversi semalam bukan satu masalah besar buat barisan serangan, kerana Malaysia mempunyai penyerang yang mampu menggalas tugas yang tinggalkan.

 

 

“Ketiadaa Luqman agak berat sedikit untuk bahagian serangan, tetapi kita ada penyerang yang mempunyai kemahiran seperti Luqman.

“Jepun sama naik seperti kami, berdasarkan corak permainan mereka (Jepun) kita boleh menang,”kata Alif lagi.

Alif menjaringkan satu gol ketika Malaysia tewas 2-4 kepada Thailand dalam aksi kedua di Bukit Jalil pada Ahad.

Dalam pada itu, Jepun terikat tanpa jaringan dengan Tajikistan dalam aksi kedua semalam di UM Arena sekaligus terlepas peluang untuk layak ke suku akhir lebih awal.

Namun, pengendali Jepun, Yutaka Ikeuchi menyimpan pemain pemain utamanya ketika aksi menentang Tajikistan, memberi bayangan, mereka akan memastikan Malaysia kecewa dilaman sendiri pada Rabu sekaligus memastikan Jepun kekal di tangga teratas kumpulan A.

Selepas dua perlawanan, Malaysia menghuni tangga ketiga, berkongsi tiga mata dengan Thailand dibezakan berdasarkan rekod pertemuan kedua dua pasukan.

Manakala Tajikistan yang menghuni tangga tercorot masih berpeluang untuk melayakkan diri dan perlu menang ke atas Thailand jika mahu ke suku akhir. KU MOHD LUFTI 

 

- Advertisement -