Impian Kedah untuk menjejak kaki ke suku akhir acara futsal lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) lebur setelah kecundang 2-3 di tangan Melaka di Arena Sukan Tertutup Manjung pada Jumaat.

Bintang Kuantan Rangers yang juga pelatih skuad kebangsaan Zainal Abidin Hamzah menjaringkan dua gol di separuh masa pertama tetapi ia tetap tidak dapat membantu memacu kemaraan pasukannya yang sebelum ini tewas dengan angka jaringan sama kepada Sarawak dalam aksi pembukaan.

Kedah yang wajib menang aksi ini untuk mara ke kelompok lapan terbaik mendahului 2-0 di separuh masa pertama setelah Zainal meledak dua gol pantas pada minit 13 dan 14.

Namun Melaka bangkit bergaya untuk meraih tiga mata dan mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan C menerusi dua jaringan Tarmizi Ab Ghafar dan Najmi Rosli di separuh masa kedua.

“Cukup mengecewakan kerana kita sudah ada kelebihan tetapi kita gagal pertahankannya, ia salah kami sendiri kerana hilang fokus dan ia dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Melaka,” kata pemain kelahiran Temerloh itu.

Kekalahan Kedah membawa khabar gembira buat Sarawak yang mara mengiringi Melaka ke suku akhir selaku naib juara kumpulan.

Sementara itu finalis 2013 Wilayah Persekutuan mengesahkan kedudukan selaku juara Kumpulan B setelah garang membelasah Negeri Sembilan 12-0 dalam aksi terakhir.

Iskandar Alif Khairul Anwar, Shahril Hissham, Ilyasha Alimin Zulkarnain dan Nazrin Ashraf Radzi masing-masing menjaringkan dua gol manakala Mulhim Muqri Faizal, Ismail Bahaudin, Farith Ahmad dan Nazif Azli kesemuanya menyumbangkan satu gol.

Mengiringi mereka ke suku akhir adalah pemenang pingat emas 2011 iaitu Johor hasil kemenangan ke atas Negeri Sembilan pada perlawanan pertama manakala Pahang pula mengesahkan kedudukan mereka selaku juara kumpulan D dengan mencatat kemenangan 5-1 ke atas Terengganu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -