Pengalaman menjalani latihan pemilihan bersama dua kelab Divisyen Dua Liga Jepun (J2) bakal menjadi sandaran Hadi Fayyadh Abdul Razak untuk membantu skuad bawah 19 tahun Malaysia menyambar tiket beraksi di Piala Dunia B-20 di Poland tahun depan.

Dalam tempoh kurang dua bulan, pemain berusia 18 tahun itu telah bersama skuad senior Fagiano Okayama selama seminggu yang berakhir pada 23 September dan sebelum itu pada Ogos lalu dia telah berpeluang menyerlahkan bakatnya bersama satu lagi kelab J2, Roasso Kumamoto.

Kedua-dua peluang itu didapatkan oleh Yakult Malaysia Sdn Bhd yang merupakan rakan penaja Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan juga minuman probiotik rasmi badan induk itu.

Prestasi ditunjukkan Hadi Fayyadh bersama dua kelab J2 berkenaan dilaporkan mendapat pujian rakan sepasukan di sana dan berjaya menarik perhatian panel kejurulatihan namun belum ada sebarang keputusan diumumkan mengenai halatuju karier bekas pemain Johor Darul Takzim II itu.

Sambil mengharapkan mendapat respon positif, bekas penyerang Johor Darul Takzim II itu mahu terus meningkatkan lagi prestasi dan tidak sabar untuk membantu cabaran Malaysia di Kejuaraan AFC B-19 tahun di Indonesia bulan depan.

“Bermain di sini (Okayama) bukan satu perkara yang mudah tetapi saya dapat menyesuaikan diri dengan baik bersama mereka. Walaupun mereka berada di tahap yang lebih tinggi dari Malaysia, namun mereka sentiasa membantu saya sepanjang sesi latihan berlangsung.

“Ia satu cabaran yang menarik dan saya gembira dengan pengalaman ini. Sememangnya, banyak yang saya pelajari di sini dan sudah tentu saya berharap akan diterima bermain dengan mereka.

“Fokus utama saya ketika ini membantu cabaran skuad negara dan sudah tentunya harapan adalah tinggi agar segala pendedahan dan pengalaman yang saya kutip dari sana dapat digunakan sebaiknya nanti,” ujar penyerang kelahiran Perak itu.

Sebagai rekod, Hadi Fayyadh adalah anggota skuad Malaysia B-19 kendalian Bojan Hodak yang menjuarai Kejuaraan AFF B-19 di Indonesia dengan menewaskan Myanmar dalam aksi final pada Julai lalu.

Selepas itu dia disenaraikan sebagai pengganti saat akhir kepada Rodney Celvin Akwensivie dalam skuad 20 pemain Sukan Asia Jakarta-Palembang oleh Dato’ Ong Kim Swee, malah diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Bahrain.

Di Kejuaraan AFC B-19 yang berlangsung di Indonesia berlangsung dari 18 Oktober – 4 November nanti, Malaysia diundi bersama-sama Arab Saudi, Tajikistan dan China di dalam Kumpulan D.

Bagi memantapkan persiapan, Bojan telah membawa barisan pemainnya untuk menjalani latihan di Muscat, Oman pada awal bulan ini. MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -