Hasrat peminat bolasepak tempatan untuk melihat pemain yang membantu Malaysia menjulang Piala AFF Suzuki 2010, Norshahrul Idlan Talaha kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan buat kali pertama selepas hampir dua tahun nampaknya tidak kesampaian.

Jurulatih, Tan Cheng Hoe mengesahkan dia terpaksa melupakan khidmat pemain itu yang meminta pelepasan dari kem latihan pusat skuad kebangsaan kerana urusan keluarga hanya sehari selepas melapor diri.

Ketiadaan Norshahrul yang pertama kali disenaraikan Cheng Hoe sejak dia mengambil alih tugas ketua jurulatih skuad kebangsaan bermakna Harimau Malaya kini hanya mempunyai empat pemain untuk dipertaruhkan sebagai penyerang iaitu Shahrel Fikri Fauzi, Akhyar Rashid, Zaquan Adha Abdul Radzak dan R.Kogileswaran.

ā€œMemang sedikit kecewa kerana saya telah merancang untuk mencuba beberapa gandingan baru dengan menggunakan Mat Yo, tetapi tidak mengapa dia meminta pelepasan kerana urusan keluarga dan kita menghormatinya.

ā€œSaya perlu fikirkan solusi dan formula terbaik bagi mengatasi masalah di barisan serangan, tidak boleh memberi sebarang alasan. Saya berharap pemain yang diberi kepercayaan dapat menggalas tugas dengan sebaik mungkin dan lebih penting saya berharap tidak lagi kehilangan pemain lain,ā€ kata Cheng Hoe.

Cheng Hoe yang sedang mempersiapkan skuad untuk beraksi di Piala AFF Suzuki November depan sebelum ini sudahpun kehilangan khidmat Rizal Ghazali, Safawi Rasid, Adam Nor Azlin dan Syafiq Ahmad untuk aksi persahabatan menentang Taiwan (7 September) dan Kemboja (10 September).

Skuad seramai 22 pemain akan bertolak ke Taipei City awal pagi Rabu.

Perlawanan menentang Taiwan adalah yang kelima buat Harimau Malaya bagi tahun 2018 dan semakin menunjukkan peningkatan apabila tidak tewas dalam tiga aksi terakhir ā€“ seri menentang Mongolia dan menang ke atas Bhutan serta Fiji.

Cheng Hoe juga mengharapkan agar momentum kemenangan dapat diteruskan walaupun fokus utamanya adalah mahu menguji keberkesanan gandingan baru dan keserasian yang ditunjukkan para pemain. – OLEHĀ MUHAMMAD AIMANĀ 

- Advertisement -