Pemain Malaysia M. Azri Hassan (kiri) melakukan tembakan ke arah gawang tim Jepang pada babak final hoki putra Asian Games 2018 di Lapangan Hoki Komplek Gelora Bung Karno, Jakarta, Sabtu (1/9). ANTARA FOTO/INASGOC/Indrianto Eko Suwarso/pras/18

Pepatah inggeris ada mengatakan ‘so close yet so far’ – mungkin ianya paling sesuai untuk menggambarkan nasib dialami pasukan hoki Malaysia.

Satu ketika pingat emas pertama di pentas Sukan Asia dan tiket ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 seakan sudah berada dalam genggaman, tetapi ia akhirnya tetap terlepas.

Malaysia perlu menyalahkan diri sendiri apabila mensia-siakan kelebihan tiga gol sebanyak dua kali dengan membenarkan Jepun bangkit daripada ketinggalan 4-1 dan 5-2 untuk menyamakan kedudukan 6-6 seterusnya muncul juara buat kali pertama menerusi kemenangan 3-1 pada penentuan penalti.

Ini bukan sahaja kali pertama Jepun memenangi emas tetapi juga merupakan kali pertama mereka berada di kedudukan podium dalam sejarah penyertaan di Sukan Asia.

Kemenangan bergaya ini juga menyaksikan Jepun layak ke Sukan Olimpik secara merit selaku juara Asia meskipun mereka sebenarnya sudahpun layak selaku tuan rumah.

“Saya begitu kagum dengan pemain saya, mereka lakukan apa yang dilihat sebagai mustahil dan kemenangan ini akan kekal abadi dalam ingatan mereka selamanya. Sikap tidak mengenal putus asa mereka yang membawa kepada kejayaan ini, ia hari bersejarah buat hoki Jepun kerana wanita juga memenangi emas,” kata jurulatih Jepun, Siegfried Aikman.

Dalam aksi final dramatik di Stadium Gelora Bung Karno itu, Malaysian Tigers mendahului menerusi Razie Rahim seawal minit keempat namun kedudukan menjadi 1-1 lima minit kemudian menerusi penyudah Tanaka Seren.

Dua gol padang pantas oleh Tengku Ahmad Tajuddin serta gol pukulan sudut penalti oleh Faizal Saari meletakkan Malaysia selesa mendahului 4-1 sebelum Tanaka Kenta merapatkan jurang untuk kedudukan berakhir 4-2 di separuh masa pertama.

Selepas tiada jaringan pada suku ketiga perlawanan, enam gol terhasil dalam 10 minit terakhir bermula dengan jaringan Amirol Aideed pada minit ke-50 yang meletakkan skuad bimbingan Stephen Van Huizen mendahului 5-2.

Jepun bangkit menerusi tiga jaringan Fukuda Kentaro (m-52), Tanaka Kenta (m-53) dan Yamasaki Koji (m-58) untuk mengikat kedudukan 5-5. Jaringan sudut penalti oleh Razie beberapa saat selepas itu sekali lagi memberikan kelebihan buat Malaysia namun pada ketika kemenangan sudah sedia untuk diraikan Ochiai Hiromasa meragut kegembiraan itu dengan gol penyamaan 6-6 pada minit akhir.

Pada penentuan penalti, Malaysia berputih mata apabila hanya Firhan Ashaari yang berjaya menyudahkan pukulan tatkala Faizal, Meor Muhammad Azwan dan Tengku Ahmad Tajuddin kesemuanya gagal.

Kegagalan memenangi emas, mengulangi pencapaian terbaik sebelum ini iaitu pingat perak pada edisi 2010 dan ia turut bermakna Malaysia perlu mengharungi pusingan kelayakan untuk menempah tiket beraksi di Tokyo 2020. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -