Pencabar utama Liga Super dalam saingan Bolasepak 100PLUS Liga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) 2018, Sekolah Sukan Malaysia Pahang ‘A’ kembali selepas berehat panjang sekaligus mengungguli kedudukan susulan kemenangan tipis ke atas SMK Bukit Indah.

Jaringan tunggal Mohd Khairil Mohd Zain di separuh masa kedua sudah cukup untuk skuad kendalian Osmera Sabah untuk naik dua anak tangga, mengumpul 25 mata selepas bermain sembilan perlawanan.

“Kami baru kembali dari China kerana menyertai kejohanan jemputan Piala Wuhan. Pemain pemain kepenatan tetapi tetap berjaya mencipta peluang namun banyak disia siakan.

“Pasukan lawan memberi cabaran yang sengit dan pemain pemain mereka memberikan komitmen 100 peratus terhadap perlawanan,” kata Osmera

Juara Piala Sumbangsih, SMK Tunku Anum pula terus hambar apabila gagal memanfaatkan kelebihan beraksi dilaman sendiri selepas tumpas 1-2 kepada SMK Seri Kota.

Kekalahan ke empat skuad kendalian Adzlan Abu menyaksikan Tunku Anum kekal ditangga tercorot Liga Super dengan enam mata berjaya diraih setakat ini.

Tunku Anum mendahului dibabak pertama perlawanan menerusi Arif Aiman Hakimie Nor Asmadi, namun kealpaan pertahanan dihukum Muhd Darwisy Amirnordin yang menyamakan kedudukan diminit 65 sebelum Mohd Zahir Syakil Mohd Zamani memastikan kemenangan untuk SMK Seri Kota dimasa tambahan.

SMK Seri Kota naik ke tangga kelima, berkongsi 15 mata dengan SSMP B13 ‘A’, dibezakan satu mata dengan SMK Bukit Indah yang menghuni tangga keempat.

Di Pulau Pinang, jaringan tunggal Fitri Zukri memastikan SMK Seri Titiwangsa meraih tiga mata ke atas SMK Mutiara Impian untuk kemenangan ketiga.

Kemenangan itu membawa SMK Seri Titiwangsa untuk naik dua anak tangga ke tangga ke 11 dengan sembilan mata selepas beraksi 10 perlawanan.

Sementara itu SSMP ‘B’ memintas SMK Putera untuk memimpin kedudukan pendahulu bagi Liga Perdana.

Dua gol Mohd Danial Haiqal membantu SSMP ‘B’ untuk memastikan kemenangan 2-0 ke atas MSS Putrajaya sekaligus berkongsi 22 mata dengan SMK Putera, namun dibezakan dengan jumlah jaringan.

Mengekori rapat SSMP ‘B’ dan SMK Putera, SMK Tun Hussein Onn yang melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas tuan rumah, SMK Gunung Rapat hasil jaringan Muhd Irfan Hafiz  Iskandar di minit 61.

Kemenangan ini meletakkan SMK Tun Hussein Onn di tangga ketiga, hanya dibezakan dengan satu mata.

Aksi Liga Super bawah 17 tahun menyaksikan SMK Tunku Anum terlepas peluang untuk memintas kedudukan pendahulu selepas sekadar seri tanpa jaringan dengan SMK Seri Kota.

SMK Tunku Anum mengumpul 14 mata untuk kekal ditangga keempat liga, dua mata dibezakan dengan dua pasukan teratas, SMK Bukit Nenas yang menerajui liga diikuti SMK Za’ba.

Manakala Liga Perdana, hanya satu perlawanan berlangsung menyaksikan SMK Gunung Rapat berpesta gol ke atas SMK Tun Hussein Onn 7-2 untuk melonjak ke tangga kedua, tiga mata dibelakang pendahulu, SMK Seberang Temerloh.

 

KEPUTUSAN PERLAWANAN (BAWAH 14)

 

SMK Bukit Indah                  0

SSMP ‘A’                              1

 

SMK Tunku Anum                 1

SMK Seri Kota                      2

 

SMK Mutiara Impian             0

SMK Seri Titiwangsa              1

 

SMK Gunung Rapat              0

SMK Tun Hussein Onn           1

 

SSMP B13 ‘B’                        2

MSS Putrajaya                      0

- Advertisement -