Penembak Pahang, Low Wei Chern meraih kemenangan berganda apabila meraih dua pingat emas menerusi acara 25m Rapid Fire Pistol Individu dan Berpasukan Lelaki pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-19 di Kompleks Menembak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Bidikan Low bukan sahaja berjaya menuai emas, malah turut meleburkan rekod 12 tahun acara berkenaan pada temasya Sukma, dengan catatan 563 mata mengatasi rekod sebelum ini, 558 mata milik penembak Selangor Omar Sheriff Mohd Sheriff pada edisi 2006 di Kedah.

Dalam acara berpasukan, Low yang bergandingan dengan Muhammad Ridwan Awaluddin dan Shasmainur Ariff Mohd Shah meraih pingat emas, sekali gus mencipta rekod baharu temasya dengan kutipan 1,652 mata.

Rekod acara berpasukan sebelum ini dipegang gandingan yang sama ketika Sukma 2016 di Sarawak dengan membidik 1,636 mata.

“Saya puas hati sebab tahun lepas raih pingat perak acara individu, kali ini pada penampilan terakhir saya dapat pingat emas. Kami memang berusaha keras dalam latihan untuk persiapan ke Sukma di sini

 

 

“Saya masih menunggu panggilan ke skuad kebangsaan. Saya pernah ditawarkan sertai skuad kebangsaan ketika berumur 17 tahun, tetapi saya terpaksa tolak kerana perlu menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Selepas itu saya tidak menerima tawaran.

“Kini saya bekerja sepenuh masa dengan bapa. Jadi kalau diberi peluang sertai skuad kebangsaan, saya bersedia memberikan sepenuh komitmen,” katanya kepada pemberita di sini.

Low menewaskan penembak Terengganu Safirredzuan Salim yang membidik 557 mata untuk meraih pingat perak, manakala rakan sepasukannya Muhammad Ridwan Awaluddin memenangi gangsa dengan catatan 546 mata dalam acara individu.

Bagi acara berpasukan pula, hanya trio Pahang meraih pingat emas, dan tiada pemenang pingat perak dan gangsa berikutan dua pasukan sahaja mengambil bahagian dalam acara berkenaan.

Dalam pada itu, penembak tuan rumah, Ahmad Khusyairi Abdul Razak menghadiahkan dua pingat emas kepada kontinjen Perak menerusi acara 10m Air Rifle Individu dan Berpasukan Lelaki.

Ahmad Khusyairi membidik 614.9000 mata mengatasi rakan sepasukannya Muhammad Aiman Syafiq Zainal Ariffin yang meraih pingat perak selepas mencatat 612.8000 mata manakala gangsa menjadi milik penembak Selangor Haritz Iklil Hessly Hafiz dengan kutipan 612.6000 mata.

Gandingan Ahmad Khusyairi dengan Loo Jie Ren dan Muhammad Aiman Syafiq turut memecahkan rekod Sukma dengan bidikan 1828.5 mata, sekali gus mempertahankan pingat emas dimenangi mereka dua tahun lalu di Sarawak.

Trio itu memperbaharui rekod milik mereka sendiri dengan catatan 1817.2 mata.

Mereka menewaskan trio Selangor dan Pahang, masing-masing meraih pingat perak dan gangsa dengan catatan 1816.9 dan 1795.4 mata.

— BERNAMA

 

- Advertisement -