Selangor dilihat sudah memulakan langkah mempersiapkan pasukan untuk musim 2019, tetapi mereka masih berteka-teki mengenai masa depan penyerang sensasi, Rufino Segovia.

Adakah pemain itu masih diperlukan Red Giants musim depan? Kerana pada ketika musim sudah menghampiri penghujung dan kontraknya juga akan berakhir pada November, penyerang kelahiran Sepanyol itu sehingga kini masih menanti Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) untuk menawarkan kontrak baru.

Jelas, reputasi selaku penjaring terbanyak Liga Super dan penjaring 30 gol semusim nampaknya tidak cukup untuk Segovia mengerah Selangor membuat keputusan segera mengenai masa depannya.

Menjelaskan mengenai perkara ini, Segovia berkata, “Saya belum pasti apa perancangan mereka, belum ada tawaran ataupun perbincangan diadakan tetapi jika tanya saya, sememangnya saya mahu kekal di sini jika mereka masih mahukan saya.

“Hanya Selangor yang menjadi keutamaan saya dan saya tidak bercadang berpindah walaupun ada menerima banyak tawaran dari pasukan lain bukan sahaja pasukan Liga Malaysia tetapi termasuk kelab luar negara,” ujar pemain itu.

Dia yang akan berusia 34 tahun pada 2019 menambah, “Ketika tiada kelab yang mahukan saya dan tidak percaya dengan kudrat saya kerana saya sudah tua, hanya Selangor yang memberikan saya peluang. Sebab itu saya mahu membalas budi mereka dengan menunjukkan kesetiaan.”

Sebagai rekod, Segovia dipancing dari kelab Hong Kong, Kitchee FC itu menyertai Selangor pada jendela perpindahan kedua musim lalu dan menjaringkan sebanyak 10 gol dalam semua pertandingan.

Dia mencuri tumpuan ramai dengan sentuhan jaringan menakjubkan sepanjang musim ini dan merupakan antara pemain import yang paling menyerlah dalam saingan Liga Malaysia 2018 apabila meledak 19 gol dalam saingan Liga Super, sembilan gol dalam Piala FA dan dua gol dalam lima perlawanan Piala Malaysia termasuklah tiga kali hatrik ketika menentang Kelantan, Kuala Lumpur dan PKNS FC. MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -