Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed menyatakan slot Liga Premier milik Terengganu City akan ditawarkan kepada dua semifinalis Piala FAM – PJ Rangers dan MOF FC – seandainya pasukan itu membuat keputusan untuk tidak bertanding musim depan.

Terengganu City atau digelar The Sharks layak ke Liga Premier setelah melangkah ke final Piala FAM dengan menewaskan MOF FC di separuh akhir namun masa depan mereka masih samar berikutan masalah kewangan kritikal yang dihadapi sejak awal musim.

Firdaus bagaimanapun menjelaskan masih terlalu awal untuk memperkatakan mengenai perkara itu kerana Terengganu City belum membuat sebarang kenyataan tentang halatuju mereka dan masih mempunyai masa untuk mencari penaja dan mengesahkan penyertaan.

“Ia hanya berlaku jika Terengganu City tidak melepasi peraturan yang telah ditetapkan. Terpulang kepada Malaysia Football League (MFL) untuk luluskan atau tidak penyertaan mereka selepas membuat penilaian teliti kerana peraturan mereka lebih ketat daripada FAM.

“Selepas itu barulah dua pasukan semifinalis tersebut akan ditawarkan slot, jika kedua-dua setuju terima, barulah satu perlawanan playoff diadakan untuk mencari pengganti,” kata Firdaus.

Ketika ini, pengurusan Terengganu City dilaporkan sedang berusaha keras untuk mendapatkan dana bukan sahaja untuk mengesahkan penyertaan di Liga Premier 2019, tetapi juga untuk membayar tunggakan gaji serta tuntutan pampasan.

Sebagai rekod, Terengganu City sepatutnya sudah menarik diri sejak pertengahan tahun 2017 kerana masalah kewangan namun selepas Tuan Muda dari Tulangis Group (penaja pasukan) tampil untuk menjadi penyelamat, isu berkaitan kewangan pasukan dilihat sudah menemui solusinya.

Namun, disangka cerah sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Hanya beberapa bulan kemudian iaitu sekitar April dan Mei tahun ini, masalah kewangan kembali diperkatakan, pemain Terengganu City dan pegawai dilaporkan sudah tidak menerima gaji selama beberapa bulan.

Begitupun, pemain dan pegawai mereka menjalani kehidupan seperti biasa tanpa kebimbangan, segalanya dilihat dalam keadaan terkawal kerana berpegang kepada kata-kata Tuan Muda yang berjanji akan menyelesaikan kemelut ini secepat mungkin sebelum musim 2018 menutup tirai.

Namun musim 2018 sudahpun menutup tirai dengan Terengganu City muncul juara Piala FAM menewaskan Selangor United 2-0 dalam aksi final, masalah itu nampaknya belum selesai.

Ia diburukkan dengan arahan menyelesaikan tuntutan berjumlah keseluruhan RM283,000 kepada enam pemain iaitu Azrul Hazran Amiludin Baki (RM40,000), Sani Anuar Kamsani (RM80,000), Norhafizzuan Jailani (RM59,000), Rahmat Hassan (RM40,000), Ros Muharam Wahab (RM24,000) dan Zailan Mohamad (RM40,000) dalam tempoh 30 hari oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada minggu lalu jika tidak mahu berdepan tindakan lanjut.

Mungkin pengurusan dan penaja pasukan sedang mengusahakan sesuatu, tetapi sudah tentu ia tetap menjadi persoalan sejauh mana terkawalnya kedudukan kewangan mereka.

Kita pastinya tidak mahu Terengganu City mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan Kuantan FA.
Kuantan FA dulu berdepan kemelut yang sama. Semuanya nampak terkawal dan dipandang sebelah mata pada awalnya.

Bermula dengan tunggakan gaji tiga bulan yang meleret kepada 11 bulan tetapi MFL bersikap bagi muka, akhirnya pengurusan Kuantan FA ‘cuci tangan’ dan walaupun pasukan itu dibatalkan penyertaan, pemain-pemain tetap tidak mendapat hak mereka sehingga ada yang akhirnya melupakan bolasepak dan bekerja cuci kereta.

Dengan perbelanjaan untuk saingan Liga Premier pastinya jauh lebih besar, Terengganu City perlu melihat kepada kekuatan kewangan mereka sebelum membentuk pasukan bagi musim baru.

Ukur baju di badan sendiri, lihat kepada kekuatan kewangan dan jangan sesekali mengambil bahagian dalam saingan Liga Premier semata-mata dengan niat mahu ‘test market’ sebaliknya tetapkan perancangan yang betul untuk survival jangka panjang. MUHD AIMAN 

 

- Advertisement -