Kedah sedar mereka tiada pilihan selain melakar kemenangan ke atas Melaka dalam aksi kedua Kumpulan C pada Jumaat jika tidak mahu terlepas tiket beraksi di suku akhir.

Kekalahan 2-3 kepada Sarawak dalam aksi pembukaan pada Ahad meletakkan skuad Lang Merah dalam bahaya tersingkir awal justeru pemain meningkat naik, Zainal Abidin Hamzah menggesa rakan sepasukan untuk bangkit mengerah kudrat sedaya mungkin untuk mengutip tiga mata.

“Sedikit kelekaan pada minit akhir menyebabkan kami dihukum Sarawak tetapi kami perlu segera melupakan kekalahan itu dan beri fokus penuh kepada perlawanan kedua, kami tidak mahu berputih mata pulang awal.

“Ini adalah misi hidup mati, jadi setiap pemain perlu berada pada tahap prestasi terbaik dan mengurangkan kesilapan. Semua pemain termasuk saya begitu bersemangat mahu membawa Kedah melangkah jauh dan cuba untuk berada di kedudukan podium.

“Kami perlu memanfaatkan setiap peluang dan menterjemahkan strategi jurulatih dengan bijak,” ujar Zainal yang turut menjaringkan gol pertama Kedah ketika kekalahan kepada Sarawak.

Zainal merupakan antara pemain muda menjadi tumpuan di SUKMA berikutan kecemerlangan ditunjukkannya bersama Kuantan Rangers FC dalam aksi pusingan kedua Liga Futsal Kebangsaan bulan lalu sehingga menyaksikan namanya disenaraikan dalam skuad kebangsaan.

Sementara itu, Sarawak berpeluang mengesahkan tempat di suku akhir seandainya berjaya mengutip sekurang-kurangnya satu mata menentang Melaka pada Rabu.

Pemenang pingat emas 2011, Johor juga akan mara sekiranya berjaya menewaskan finalis 2013 Wilayah Persekutuan dalam aksi Kumpulan B manakala juara bertahan Pulau Pinang yang diaibkan Pahang 2-9 dalam aksi pertama Kumpulan C memerlukan kemenangan ke atas Terengganu untuk menghidupkan peluang mereka.  – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

- Advertisement -