Aksi pembukaan bolasepak peringkat kumpulan Sukan Malaysia 2018 (SUKMA) menyaksikan juara dua kali, Perak gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila sekadar terikat satu sama dengan Sarawak.

Aksi sulung kumpulan A di Stadium Majlis Perbandaran Manjung malam tadi menyaksikan aksi hambar tuan rumah apabila ketinggalan 0-1 seawal minit kedua.

Sarawak tampak lebih kemas mengatur perlawanan apabila Amir Amri Salleh memanfaatkan kealpaan pemain pertahanan tuan rumah untuk meletakkan pasukannya di depan.

Maruah Perak bagaimanapun diselamatkan Muhd Asyraaf Mat Pushni menerusi sepakan percuma di minit ke 51 untuk jaringan penyamaan.

Dalam pada itu, Negeri Sembilan mengungguli kumpulan A selepas melakar kemenangan tipis 2-1 ke atas Perlis.

Nor Syafiq Syazwan Abd Rahman muncul wira Negeri Sembilan apabila menjaringkan dua gol untuk pasukannya.

Gol pertama hadir di minit ke 38 menerusi sepakan penalti, namun Perlis menyamakan kedudukan hasil tandukan kemas MK Aathishesan dua minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Syafiq memastikan tiga mata penting menjadi milik Negeri Sembilan apabila meledak gol kedua di minit 64.

Sementara itu, aksi pembukaan bagi kumpulan B di Stadium Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim menyaksikan gol Muhammad Amirul Nizam Mohd Azmi sudah cukup untuk memastikan kemenangan milik Wilayah Persekutuan untuk menewaskan Johor.

 

- Advertisement -