Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menyenaraikan 26 pemain untuk dipanggil menjalani latihan pusat pasukan kebangsaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Maldives pada 3 November disusuli Piala AFF Suzuki 2018 bermula 8 November.

Daripada senarai tersebut, Cheng Hoe memanggil semula lapan pemain yang digugurkan sebelum ini dengan nama paling mencuri tumpuan adalah pemain tengah Pahang Nor Azam Azih yang kembali disenaraikan buat pertama kali sejak November tahun lalu.

Kehadiran semula Nor Azam yang kali terakhir disenaraikan Nelo Vingada November tahun lalu pastinya dilihat boleh menyelesaikan masalah Cheng Hoe yang kekurangan pemain berkualiti bagi mengemudi dan berfungsi sebagai enjin tengah pasukan kerana dia sememangnya diketahui salah seorang pemain tengah terbaik Liga Malaysia ketika ini.

Cheng Hoe sebelum ini telah kehilangan Nasir Basharudin kerana kecederaan dan lebih kerap memanggil pemain-pemain yang jarang mendapat tempat di dalam pasukan masing-masing sehingga menimbulkan persoalan mengenai kriteria pemilihan pemain ke kem kebangsaan.

Selain Nor Azam, turut disenaraikan semula oleh Cheng Hoe adalah enam pemain Johor Darul Takzim iaitu Farizal Marlias, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Azrif Nasrulhaq Nadrul Hisham, Safawi Rasid, Shafiq Ahmad dan Ahmad Hazwan Bakri serta pemain pertahanan Perak, Nazirul Naim Che Hashim.

Cheng Hoe turut mengetepikan lima pemain dari skuad yang dipanggil untuk aksi menentang Sri Lanka dan Kyrgyzstan tempoh hari iaitu Mathew Davies kerana kecederaan lutut dan Fazly Mazlan kerana masalah peribadi.

Sementara penjaga gol Haziq Nadzli, Mahali Jasuli dan Nik Akif Syahiran Nik Mat ketiga-tiganya diletakkan dalam senarai menunggu bersama-sama Nazmi Faiz Mansor.

Seramai 21 pemain akan melapor diri di kem kebangsaan pada 24 Oktober manakala lima pemain Perak yang terlibat dengan final Piala Malaysia akan melapor diri pada 29 Oktober.

Cheng Hoe akan mengumumkan senarai akhir 23 pemain skuad Piala AFF Suzuki selepas perlawanan menentang Maldives.  MUHD AIMAN 

Senarai pemain :
Penjaga gol : Farizal Marlias (JDT), Hafizul Hakim Khairul Nizam (Perak), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka)
Pertahanan : Aidil Zafuan Abd Radzak, Adam Nor Azlin, Azrif Nasruslhaq (JDT), Shahrul Saad, Nazirul Naim, Amirul Azhan Aznan (Perak), Syazwan Andik Ishak, Irfan Zakaria (KL)
Tengah : Syamer Kutty Abba (JDT), Syahmi Safari (Selangor), Kenny Palraj (Perak), Syazwan Zainon, Akram Mahinan (Kedah), Azizzan Nordin (Sabah), Mohamadou Sumareh, Nor Azam Azih (Pahang)
Penyerang : Safawi Rasid, Ahmad Hazwan Bakri, Shafiq Ahmad (JDT), Shahrel Fikri Fauzi (Nakhon Ratchasima), Akhyar Rashid (Kedah), Norshahrul Idlan Talaha (Pahang), Zaquan Adha Abdul Radzak

- Advertisement -