Selepas kemenangan ke atas Sri Lanka dalam aksi keenam skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe dijangka diuji sepenuhnya malam ini apabila berdepan Kyrgystan dalam aksi persahabatan antarabangsa ‘A’ di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Berdepan pasukan yang mempunyai ranking yang jauh lebih tinggi setiap aspek dalam pasukan Malaysia bakal didedahkan samada kekuatan mahupun kelemahan.

Tan Cheng Hoe bagaimanapun berdepan sedikit kesukaran apabila beberapa pemain yang dibawa ke Colombo pada Jumaat lalu terpaksa diketepikan susulan kecederaan.

 

 

“Kami mungkin beraksi tanpa tiga tonggak utama iaitu, Matthew Davies, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Shahrel Fikri Md Fauzi yang mengalami kecederaan.

“Shahrel Fikri mengalami kecederaan pada perlawanan menentang Sri Lanka, Jumaat lalu manakala Matthew dan Nik Akif Syahiran cedera semasa menjalani latihan bersama pasukan menjelang aksi menentang Kyrgyzstan malam ini.

“Shahrel Fikri belum pasti akan diturunkan dan masa untuk panggil pemain baharu agak singkat, jadi mungkin kami akan gunakan pemain sedia ada yang bersama pasukan ketika ini,” jelasnya pada sidang media pra perlawanan menentang Kyrgyzstan di Melaka, semalam.

Cheng Hoe turut menambah, beberapa aspek kelemahan yang wujud ketika pertemuan menentang Sri Lanka perlu diatasi selain mempamerkan aksi yang terbaik.

 

 

Tentangan sengit pastinya diberikan Kyrgystan yang sedang giat melakukan persiapan bagi menghadapi Piala Asia 2019 yang akan bermula Januari tahun depan.

“Untuk perlawanan malam ini, kami akan bermain mengikut kekuatan yang dimiliki, menyerang dan pada masa sama bertahan untuk mengelakkan gawang dibocori.

“Dari segi ranking memang lawan memiliki kelebihan tetapi ingin saya tegaskan pemain dan pengurusan memiliki keyakinan ketara untuk melakar keputusan positif.

“Secara keseluruhannya bahagian serangan kita berfungsi dengan baik memandangkan kami beraksi sebagai satu pasukan begitu juga pertahanan tetapi kita perlu terus memantapkan pasukan,” kata Cheng Hoe.

Selepas aksi dengan Kyrgystan, skuad kendalian Tan Cheng Hoe akan berdepan Maldives di Bukit Jalil pada 3 November yang menjadi aksi persahabatan terakhir sebelum memulakan kempen Piala AFF 2018 menentang Kemboja di Phnom Penh pada 8 November. KU MOHD LUFTI 

- Advertisement -