Kekalahan terhadap Kyrgystan dalam pertemuan sulung kedua dua pasukan malam tadi tampak tidak meresahkan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Beliau sudah tahu akan kemampuan pasukan lawan, malah sudah menjangkakan saingan sengit bakal diberikan skuad kendalian Alexander Krestinin.

“Perlawanan menentang Kyrgyztan adalah satu perlawanan yang baik dan saya mahu lihat sejauh mana kemampuan pemain pemain beraksi dengan pasukan yang lebih baik.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya mahu lihat perkembangan yang positif daripada pemain pemain,”kata Tan Cheng Hoe.

Malah, kegagalan barisan serangan untuk menghasilkan gol bukan keresahan utama yang perlu difikirkan ketika ini.

Cheng Hoe tampak berpuas hati dengan perkembangan positif yang ditonjolkan pemain pemain sepanjang perlawanan.

“Pemain pemain boleh mengawal bola dan mencipta peluang. Ini antara perkara perkara positif yang dapat dilihat dan kita mampu untuk menjaringkan gol dalam beberapa percubaan yang terhasil.

“Memang kita tahu kita sedang ketandusan pemain pemain yang boleh menjaringkan gol tetapi yang positif banyak peluang yang kita cipta dan saya pasti jaringan akan terhasil di masa akan datang,”katanya lagi.

Dalam pada itu, pengendali Kyrgyztan, Alexander Krestinin sudah menjangkakan saingan sengit daripada skuad Harimau Malaya.

Tidak banyak perubahan dilakukan ke atas pasukan selepas kedudukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama perlawanan.

Tambah Alexander lagi, beliau tidak mahu mengulas lanjut insiden kad merah yang berlaku melibatkan pemain pertahanan, Mustafa Iusupov.

Pemain pemain akan kembali semula ke kelab masing masing dan akan berkumpul semula bagi aksi persahabatan menentang Jepun pada November. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -