ASC2019: Akhyar, Nik Akif boleh pening memikirkan prioriti

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2018/10/asc2019-akhyar-nik-akif-boleh-pening-memikirkan-apa-prioriti-mereka">
Twitter
Pinterest

Nik Akif

Dua pemain skuad bawah 19 tahun negara, Akhyar Rashid (gambar utama) dan Nik Akif Syahiran Nik Mat seperti diketahui telah disenaraikan oleh jurulatih pasukan senior Tan Cheng Hoe bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya yang sedang dipersiapkan untuk beraksi di Piala AFF Suzuki 2018 bulan depan.

Malaysia akan menentang Sri Lanka dalam aksi persahabatan antarabangsa pada 12 Oktober di Colombo disusuli perlawanan menentang Republik Kyrgyz pada 16 Oktober di Melaka.

Kelibat dua pemain itu sebenarnya sangatlah diperlukan oleh Bojan Hodak tatkala dia juga sedang mempersiapkan sebuah skuad kompeten untuk beraksi di Kejuaraan AFC B-19 di Indonesia bermula 18 Oktober – 4 November depan.

Malah, Bojan sebelum ini ada memaklumkan bahawa Akhyar mengalami kecederaan dan pemain Kedah itu akan menjalani pemulihan di bawah pemantauan pakar perubatan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetapi akhirnya dia tetap terbang ke Colombo bersama skuad senior.

Mahu tidak mahu, perlu diakui sebenarnya perkembangan ini merencatkan persiapan skuad muda negara – Akhyar cedera dan diberikan pelepasan untuk menjalani pemulihan tetapi disenaraikan pula oleh Cheng Hoe manakala Nik Akif yang turut merupakan salah seorang tonggak utama menyertai skuad senior di saat persiapan untuk Kejuaraan AFC B-19 sudahpun memasuki fasa akhir.

Persoalan, apakah Malaysia sudah benar-benar ketandusan pemain berkualiti sehingga pemain yang sama digunakan di semua peringkat umur? Ambil contoh Akhyar dan Nik Akif, kedua-dua mereka membarisi skuad B-19, B-23 kendalian Ong Kim Swee dan juga pasukan senior.

Tidak dinafikan kelibat pemain-pemain ini adalah instrumental untuk pasukan senior walaupun masih muda, mereka menunjukkan potensi yang hebat, jadi kalau mereka bagus apa salahnya mewakili pasukan senior.

Tetapi apa yang mahu ditekankan di sini adalah kudrat mereka dikerah tanpa henti. Mereka sepatutnya ‘dibiarkan’ untuk fokus dan menyelesaikan dahulu tugasan bersama skuad B-19 dan kemudiannya barulah menyertai rakan-rakan lain di kem senior. 

Memang itulah amalan negara-negara lain justeru FAM ataupun jawatankuasa pasukan kebangsaan perlua ada satu struktur atau mekanisme yang betul untuk dituruti.

Dalam situasi seperti ini, bukan sahaja jurulatih yang pening mencatur strategi kerana pemain tonggaknya sekejap ada sekejap tiada, tetapi pemain sendiri pun boleh pening memikirkan apakah prioriti mereka yang sebenarnya dan akhirnya tidak dapat memberi prestasi terbaik sepertimana diharapkan.  

Dalam pada itu, bagi Bojan, dengan ketiadaan dua pemain itu, dia akan mencuba beberapa gandingan baru sepanjang sesi latihan dan juga dua aksi persahabatan tertutup menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dijadualkan sebelum pasukan bertolak ke Jakarta.

“Saya perlu akui belum berpuas hati dengan permainan ditunjukkan beberapa pemain tonggak terutama ketika menentang Qatar tempoh hari. Kita agak rapuh dan tidak begitu efektif di posisi sayap dan juga serangan, ianya sukar apabila berbekalkan hanya dua penyerang.

“Saya perlu mencari penyelesaian dan sudah tentu akan mencuba sesuatu yang baru dengan memberi peluang kepada setiap pemain, setiap pemain perlu bekerja keras untuk merebut tempat mereka dan saya berharap mereka akan manfaatkan peluang ini sebaik mungkin,” kata Bojan.

Bojan telah membawa skuadnya berlatih dan beraksi beberapa perlawanan persahabatan di Oman pada bulan lalu manakala pada minggu lalu dia telah membawa skuad ini ke Doha dan beraksi menentang skuad Qatar B-19 yang mana Malaysia tewas 1-3.

Pengendali dari Croatia itu turut mengesahkan bahawa dia terpaksa melupakan khidmat penjaga gol Piala Presiden Selangor, Fawzal Abdul Muthalib yang mengalami kecederaan jari dan bakal menyandarkan harapan kepada kudrat tiga penjaga gol lain iaitu Azri Abdul Ghani, Syafiq Afiq Suhaimi dan Syakir Danial Ma’amal Hajri.

Dalam Kejuaraan AFC B-19 nanti, Malaysia diundi di dalam Kumpulan D bersama-sama Tajikistan, Arab Saudi dan China. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

Please follow and like us:
0