Belum masa untuk Terengganu berasa lega

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2018/10/belum-masa-untuk-terengganu-berasa-lega">
Twitter
Pinterest

 

Terengganu membawa bekalan satu gol untuk menghadapi aksi timbal balik separuh akhir Piala Malaysia pada 20 Oktober depan setelah menewaskan juara bertahan, Johor Darul Takzim 1-0 dalam aksi pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Sabtu.

Kemenangan menyaksikan Terengganu menghampiri pentas final buat kali pertama sejak 2011 manakala JDT pula berdepan misi berliku di dalam usaha mempertahankan kejuaraan yang dimenangi musim lalu.

Menerusi kemenangan itu juga sang penyu berjaya menoktahkan badi tanpa kemenangan lebih daripada empat tahun ke atas skuad Luciano Figueroa itu. Mereka tidak pernah menang ke atas JDT dalam 11 perlawanan terakhir sejak Mac 2014.

Begitupun skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim belum boleh menarik nafas lega dengan bekalan tipis itu kerana sejarah menunjukkan bahawa harimau selatan berjaya mara ke dua aksi final Piala Malaysia sebelum ini walaupun gagal menang aksi separuh akhir pertama di tempat lawan.

Pada edisi 2014, skuad yang dibimbing Bojan Hodak ketika itu tewas 3-4 kepada Felda United dalam aksi pertama di Stadium Selayang tetapi meneruskan kemaraan ke final setelah menang 3-1 di Larkin menerusi dua jaringan Luciano Figueora dan satu oleh Amri Yahyah.

Manakala pada 2017 iaitu tahun mereka bergelar juara, pasukan bimbingan Ulises Morais seri 1-1 menentang Perak di Ipoh tetapi mara ke final setelah menang selesa 3-0 di Larkin menerusi dua jaringan Gonzalo Cabrera dan satu oleh Gabriel Guerra.

Malah, skrip sama terjadi di separuh akhir Piala FA 2016 apabila JDT yang dibimbing Mario Gomez tewas 1-2 kepada Kedah dalam aksi pertama di Alor Star sebelum melangkah ke final dengan menang 3-1 di Larkin.

Jadi, Terengganu pastinya tidak mahu nasib menimpa Felda United, Kedah dan Perak turut menimpa mereka dan perlu mengerah sehabis kudrat untuk tidak pulang berputih mata dari Larkin. MUHD AIMAN 

 

Please follow and like us:
0