Bola Selangor semakin panas, ahli gabungan tetap mahu EGM diadakan

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2018/10/bola-selangor-semakin-panas-ahli-gabungan-tetap-mahu-egm-diadakan">
Twitter
Pinterest

Kemelut kepimpinan yang melanda Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) nampaknya masih belum reda sebaliknya semakin bertambah panas.

Kelab-kelab gabungan FAS tetap mahu Kongres Luar Biasa (EGM) diadakan bagi memilih barisan exco baru seterusnya memantapkan pengurusan dan kelancaran pentadbiran FAS.

Dalam satu kenyataan terbaru, Presiden Kelab Bolasepak Frenz United, Roslin Shariff berkata walaupun FAS telah mengeluarkan kenyataan balas mengatakan bahawa terdapat ahli-ahli gabungan yang telah menarik balik tuntutan agar EGM itu diadakan, majoriti ahli-ahli gabungan tidak berganjak dengan keputusan awal.

Roslin juga menafikan namanya dipergunakan dan dijadikan boneka untuk membuat tuntutan agar EGM ini diadakan.

“Hanya kerana kenyataan media tempoh hari tidak disertakan dengan tandatangan, maka FAS menganggap ianya sebagai surat layang semata-mata. Tuntutan agar Kongres Luar Biasa diadakan ini tiada sebarang niat jahat atau agenda tersembunyi, tiada sebarang usaha memecahbelahkan keharmonian sepertimana didakwa oleh FAS.

“Sebaliknya kami mahu memperjuangkan peranan, hak dan kepentingan ahli gabungan yang seolah-olah telah ditindas dan diketepikan sepertimana telah dimaklumkan sebelum ini. Ini termasuklah tindakan membuang/memecat 55 individu wakil dari ahli gabungan daripada menganggotai Jawatankuasa Tetap dalam FAS tanpa sebab munasabah.

“Sebab itulah, EGM ini tetap perlu diadakan dan satu petisyen bertandatangan telah diserahkan kepada Setiausaha Agung FAS, Dr Johan (Kamal Hamidon) buat kali kedua pada 10 Oktober berhubung perkara ini. Persatuan Bolasepak Malaysia dan Pesuruhjaya Sukan juga telah dimaklumkan mengenainya,” kata Roslin.

Roslin yang pernah memegang jawatan ahli jawatankuasa dalam Lembaga Tatatertib FAS menegaskan bahawa kelab-kelab gabungan menyokong penuh kepimpinan Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj untuk mengtransformasikan bolasepak Selangor dan memberi jaminan baginda akan dilantik semula sebagai Presiden FAS pada EGM itu nanti.

“Tiada sebarang percubaan untuk menyingkirkan baginda kerana kami percaya baginda dapat membawa kejayaan demi kejayaan gemilang kepada bolasepak Selangor. Apa yang kami mahu adalah rombakan dan pemilihan semula exco-exco mengikut cara yang sah bagi penggal 2018 – 2022,” kata Roslin.

Kemelut ini tercetus apabila beberapa hari lalu Roslin mengeluarkan kenyataan bahawa 67 daripada 96 kelab-kelab gabungan FAS menuntut supaya EGM diadakan untuk memilih exco baru kerana berpendapat pelantikan dua naib presiden Izhar Moslim dan Dr Johan Kamal Hamidon dibuat secara tidak mengikut perlembagaan selain terdapat beberapa ketirisan lain.

FAS bagaimanapun sudah menjawab dakwaan itu dan memaklumkan tiada sebarang isu dalam pelantikan mereka dan ianya dibuat secara sah justeru menganggap ini sebagai cubaan untuk memecahbelahkan keharmonian dalam FAS. – OLEH MUHAMMAD AIMAN 

Please follow and like us:
0