Indonesia pada Selasa mengumumkan senarai 23 pemainnya yang akan membawa cabaran di Piala AFF Suzuki 2018 yang membuka tirainya 8 November depan.

Daripada senarai itu hanya seorang sahaja pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia iaitu Evan Dimas dipanggil memperkuatkan skuad tatkala rakan sepasukannya di Selangor, Ilham Udin Armayn, Andik Vermansyah (Kedah) antara nama yang diketepikan.

Sebagai rekod, pemain Indonesia lain yang bermain di Liga-M adalah David Laly (Felcra FC) dan Achmad Jufriyanto (Kuala Lumpur) manakala Ferdinand Sinaga pula pernah menyarung jersi Kelantan pada awal musim sebelum kontraknya ditamatkan hanya selepas tiga kerana masalah kewangan.

Evan juga merupakan satu-satunya pemain bermain luar Indonesia yang tersenarai setelah jurulatih Bima Sakti mengetepikan dua pemain berpengkalan di Eropah iaitu Ezra Walian yang beraksi bersama RKC Waalwijk di Divisyen Dua Belanda dan Egy Maulana Vikri yang mewakili Lechia Gdansk di Poland.

Sembilan pemain yang membantu Indonesia layak ke separuh akhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 turut berada di dalam skuad iaitu Putu Gede Juni Antara, Gavin Kwan, Hansamu Yama, Muhamad Hargianto, Ricky Fajrin, Saddil Ramdani, Septian David Maulana, Febri Haryadi dan termasuklah Evan Dimas sendiri.

Indonesia memburu gelaran sulung mereka pada edisi kali ini setelah sekadar berpuas hari dengan pencapaian selaku naib juara sebanyak lima kali pada 2000, 2002, 2004, 2010 dan 2016.

Pada final 2016, mereka menewaskan Thailand 2-1 di Stadium Gelora Bung Karno tetapi kecundang 0-2 dalam aksi timbal balik di Bangkok menyaksikan Thailand bergelar juara kali kelima dengan agregat 3-2. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -